Saturday, August 25, 2012

Kelindan Lori Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Pantai Tanjung Batu


Seorang kelindan lori dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Kampung Tanjung Batu Satu di Kuala Terengganu petang semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang di belakang sebuah hotel di Kuala Terengganu, mangsa Suhaimi Abdullah, 36, bersama abang, Shaifuddin Abdullah, 38, dan tiga sepupunya mandi di pantai berkenaan sebaik mereka pulang memancing.

Menurut Shaifuddin ketika sedang mandi, mangsa mengajak tiga sepupunya untuk berlumba ke sebuah bot terletak 50 meter dari daratan, bagaimanapun sepupunya enggan kerana tidak tahu berenang.

"Ketika mangsa sedang berenang ke bot kami terkejut melihat mangsa terkapai-kapai meminta tolong," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Katanya beliau pada mulanya tidak mengendahkan teriakan tersebut kerana menyangkakan adiknya itu bergurau sebelum mangsa hilang daripada pandangan.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Fauziah Muda, 39, berkata mereka sekeluarga terkejut dengan berita tersebut dan mangsa ada mengatakan ini kali terakhir beliau mandi laut sebelum berpindah selepas hari raya nanti.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Zulkhairul Razilah berkata gerakan mencari dan menyelamat mangsa dijalankan sehingga 7 malam semalam dengan 17 anggota termasuk lima anggota unit skuba.

Operasi menyelamat turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Marin serta penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment