Saturday, August 25, 2012

Raih RM1,000 Sehari Jual Satar Di Jalan Geliga


Pada ketika umat Islam lain masih bercuti meraikan lebaran, namun seawal hari raya kedua peniaga telah membuka gerai.

Hal ini berikutan peniaga tidak mahu melepaskan peluang merebut limpahan rezeki berikutan kebanjiran pengunjung dari luar ke kawasan sepanjang jalan Geliga dan Kuala Kemaman bagi menikmati satar dan otak-otak yang lazat.

Ternyata rata-rata peniaga boleh tersenyum riang kerana satar dan otak-otak yang dijual laris bagaikan ‘pisang goreng panas’ serta umpama rezeki Aidilfitri buat peniaga.

 Zamzarinawati Mohd Gati, 32, yang berniaga di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga sejak lima tahun lalu berkata, musim cuti perayaan serta cuti umum yang lain membolehkan dia dan puluhan peniaga satar lain di Geliga dan Kuala Kemaman meraih pendapatan lebih berbanding hari-hari biasa.

“Setiap kali cuti umum, termasuk cuti hari raya antara 30 hingga 40 kilogram satar habis dijual sehari berbanding hari biasa saya hanya mampu jual dalam 10 kilogram satar yang mana dengan hasil jualan sebegitu, saya mampu meraih pendapatan sehingga mencecah RM1,000 sehari.

“Hanya hari raya pertama saya tutup gerai dan bermula hari raya kedua, saya sudah mulakan rutin berniaga. Kalau tidak berniaga, rugilah pula kerana ketika cuti hari raya kawasan ini (Geliga dan Kuala Kemaman) jadi tumpuan orang ramai yang mahu merasai satar dan otak-otak,” katanya kepada Sinar Harian.

Satar adalah makanan istimewa Terengganu dan diperbuat daripada campuran isi ikan, bawang, cili potong, santan dan kelapa yang kemudiannya dibungkus dalam daun pisang berbentuk piramid sebelum dicucuk dengan batang besi dan dipanggang atas bara api.

Kata Zamzarinawati, dengan menggunakan 30 kilogram isi ikan, dia boleh menghasilkan sebanyak 35 kilogram satar atau bersamaan dengan kira-kira 1,800 biji satar.

Isi ikan yang digunakannya pula adalah campuran dari pelbagai jenis ikan segar iaitu ikan parang, ikan kunyit dan ikan selayang yang mana isi ikan pula dibeli di Kampung Paya Berenjut. Istimewanya, satar dibungkus di gerai seterusnya membolehkan pembeli melihat cara-cara satar dibungkus dengan daun pisang.

“Selain menjual satar yang telah siap, saya juga turut jual isi satar kerana adanya permintaan untuk itu. Isi satar dijual dengan harga RM8 untuk sekilogram.

Satar yang dipanggang pula dijual dengan harga RM4 untuk 10 biji,” kata ibu kepada empat anak ini yang membuka gerai seawal jam 9 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.

Sepanjang berada di gerai, dia turut dibantu adiknya dan kadangkala suaminya, Mohd Zamri Rahim, 42, yang bekerja sebagai nelayan turut ringan tulang membantu sekiranya tidak turun ke laut.

No comments:

Post a Comment