Tuesday, August 7, 2012

Kurang Pengetahuan Antara Punca Kaum Ibu Dijangkiti HIV/AIDS

Kurang mendapat pendedahan serta kurang pengetahuan antara punca semakin ramai wanita, khususnya golongan ibu di negeri ini dijangkiti HIV/Aids.

Presiden Komuniti Cakna Terengganu (KCT) Dr Mustapa Che Omar berkata penularan jangkitan dilihat semakin serius sejak kebelakangan ini dan membawa implikasi besar kepada institusi keluarga.


"Kita akui makin ramai golongan ibu turut dijangkiti virus berbahaya ini dan majoriti disebabkan suami golongan penagih yang rata-rata hanya bekerja kampung dan kurang pengetahuan mengenai virus itu," katanya kelmarin.

Perkara itu katanya diburukkan lagi dengan sikap kebanyakan mereka yang memperlekehkan usaha KCT memberi penjelasan berhubung penyakit maut tersebut.

Ada yang menganggap nasihat yang diberi mengganggu mereka, katanya menambah kebanyakan golongan ibu yang dijangkiti tidak tahu pasangan mereka menghidap penyakit itu.

Sementara itu, Dr Mustapa berkata KCT menyediakan rumah perlindungan untuk penghidap HIV/Aids yang direalisasikan menerusi bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu serta Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Selain itu KCT juga membantu bekas penagih dadah di negeri ini menjalani pemulihan dengan mengusahakan kebun sayur, katanya.

No comments:

Post a Comment