Tuesday, August 7, 2012

Pahang Sambut Baik Penubuhan Jawatankuasa Kaji Royalti Minyak

 
Kerajaan negeri Pahang menyambut baik penubuhan Jawatanakuasa khas bagi mengkaji bayaran hasil petroleum bagi negeri-negeri di Pantai Timur.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata penubuhan jawatankuasa tersebut sekaligus boleh menyelesaikan segala masalah dan kontroversi yang selalu ditimbulkan kerajaan Kelantan.

"Kita perlu beri peluang dan masa bagi jawatanakuasa tersebut membuat kajian agar hasrat murni kerajaan pusat itu diterima dengan baik.

"Saya akan menghadap Sultan Pahang dalam tempoh terdekat bagi melantik wakil daripada kerajaan negeri untuk menganggotai jawatankuasa tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam ketika diminta mengulas mengenai penubuhan jawatankuasa itu yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad turut dianggotai pakar undang-undang dalam dan luar negara dan wakil daripada tiga kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang,  kelmarin (5 Ogos).

Barisan Nasional (BN) Kelantan turut mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata adalah wajar isu tuntutan bayaran tunai itu diserahkan kepada jawatankuasa khas itu kerana ia dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

"Kita serahkan kepada jawatankuasa khas ini kerana mereka pakar undang-undang berdasarkan terma rujukan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam, mereka tidak berpihak kepada mana-mana maka kita tunggu hasil daripada jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita di kelmarin.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam, mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur.

Najib berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Jawatankuasa Khas itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata jawatankuasa khas itu juga akan mengambil kira pandangan daripada rakyat Kelantan kerana wakil dari negeri ini yang diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V akan menganggotai jawatankuasa tersebut.

"Kita berpandangan kita perlu serahkan isu tersebut kepada pakar-pakar yang menganggotai jawatankuasa tersebut, kita harap tidak ada pihak yang beremosi, dipolitikkan, kerana seperti yang ditekankan Perdana Menteri jawatankuasa ini akan bertindak secara adil dan telus," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa khas tersebut juga akan mengkaji adakah wajar pemberian wang ehsan kepada Kelantan diteruskan, dimana sejak tiga tahun lalu sebanyak RM61.8 juta disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk membantu rakyat negeri ini termasuk kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

No comments:

Post a Comment