Monday, August 6, 2012

Main Mercun - Polis Terengganu Beri Amaran Kepada Ibu Bapa

Polis Terengganu memberkas seorang pembantu kedai perkakasan dan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dalam satu serbuan di sebuah rumah di  Kampung Pondok Lalang, Tepoh, Batu Rakit, 30 Julai lalu.
Ibu bapa yang membiar dan membenarkan anak-anak mereka bermain mercun bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Amaran itu dikeluarkan oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa yang melihat aktiviti bermain mercun masih berleluasa di negeri ini.

Menurut Jamshah, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan penjualan dan membiarkan anak-anak terus bermain mercun.

Justeru itu, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penjualan mercun boleh menyalurkannya kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melalui nombor telefon 09-6354722 atau berhubung terus dengan cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu di talian 09-6354810.
 
"Larangan bermain serta menjual mercun masih berkuatkuasa dan jika kita dapat tangkap kanak-kanak bermain mercun yang merbahaya, ibu bapa mereka akan kita dakwa di mahkamah dengan segera," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, hari ini.

Berikutan itu, Jamshah berkata hanya dua jenis mercun sahaja yang dibenarkan iaitu 'Happy Boom' dan 'Pop-pop' kerana kedua-duanya tidak berbahaya dan tidak mendatangkan kecederaan kepada pengguna.

"Penjualan dua jenis mercun yang dibenarkan itu juga perlu mendapat permit polis. Jika gagal berbuat demikian, penjual boleh ditahan dan disabitkan kesalahan.

"Jika didapati mengedar dan menjual mercun selain daripada dua yang dibenarkan itu, peniaga boleh berdepan dengan hukuman mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Setakat ini, sebanyak empat kes telah direkodkan atas kesalahan menjual dan memiliki mercun dan ada di antara mereka telah didakwa di mahkamah.

Katanya polis memandang serius perkara ini kerana bermain mercun boleh mengakibatkan kecederaan kekal selain dapat menyumbang kepada bencana seperti kebakaran rumah serta lain-lain lagi.

No comments:

Post a Comment