Monday, August 6, 2012

Masih Banyak Ruang Untuk Fatehah Melakar Kejayaan...

 
Kegagalan kali pertama bersaing di kejohanan Olimpik bukan penamat untuk Fatehah Mustapa.

Memanglah hajat besar pelumba basikal trek negara pada Sukan Olimpik 2012 London sudah musnah tetapi masa tetap ada untuk beliau fokuskan latihan persediaan untuk kejohanan akan datang.

Fatehah menganggap dia sudah melakukan yang terbaik pada perlumbaan tersebut keirin wanita tetapi tidak mampu untuk melangkah ke pusingan kedua.


"Saya telah memberikan yang terbaik tetapi nasib kurang baik. Apa pun saya tetap bangga kerana mampu bersaing pada temasya sukan terbesar dunia ini.

"Bukan mudah untuk layak ke Olimpik. Walaupun gagal saya tetap puas hati kerana ini merupakan penampilan pertama saya di Olimpik," katanya.

Fatehah kini menyasarkan kelayakan ke temasya Olimpik Rio 2016 bagi menebus kekecewaan di London. Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata pengalaman di Olimpik London harus dijadikan pengajaran berharga oleh atlet berusia 23 tahun itu untuk kejayaan masa depan.

"Kami memuji beliau kerana menjadi atlet berbasikal wanita pertama Malaysia layak ke Olimpik dan mungkin kami terlalu berharap daripada pendedahan pertama beliau ini," katanya menerusi emel kepada media, di London, semalam.

Fatehah gagal menempatkan diri dalam kalangan tiga pelumba teratas Keirin Wanita pusingan pertama repechages pada Olimpik London kelmarin, selepas beliau menduduki tempat kelima daripada enam pelumba dalam saringan kedua.

Naim berkata, Fatehah kelihatan tergamam apabila berlumba dengan barisan pelumba yang lebih berpengalaman pada temasya ini.

"Walaupun dia biasa bersaing dengan mereka pada Kejohanan Dunia, namun bila bersaing di Olimpik, Fatehah seolah-olah kehilangan arah," katanya. Atlet Britain Victoria Pendleton meraih emas acara itu, sementara perak dimenangi pelumba China Guo Shang dan Lee Wai Sze dari Hong Kong mengutip pingat gangsa.

Menurut Naim, Fatehah yang pernah menewaskan Pendleton, Guo dan Lee ketika kejohanan dunia sebelum ini, tidak berada dalam elemen terbaiknya ketika pertandingan klmarin.

 "Beliau gementar dan tidak dapat menumpukan perhatian. Beliau teragak-agak dan terbawa-bawa dengan suasana keseluruhan," katanya.

Bagaimanapun kata Naim, atlet anak jati Terengganu itu berhak menerima semua sokongan dan bantuan bagi mengangkat martabat sukan berbasikal wanita negara pada temasya berprestij tersebut.

No comments:

Post a Comment