Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kini giat melatih dan mencari atlet-atlet sukan renang di seluruh Terengganu bagi memastikan tidak ketandusan bakat setiap kali menghadapi kejohanan ternama, termasuk Sukan Malaysia (Sukma).
Pelbagai pendekatan dilaksanakan, termasuk mewujudkan Program Pengenalpastian Bakat Akuatik semata-mata mahu melihat bidang itu turut unggul bersama-sama sukan basikal, sepak takraw, judo dan bola sepak.
Timbalan Pengarah MSNT, Encik Ibni Amin Busu, berkata pihaknya mengakui, Terengganu masih gagal memiliki pasukan yang mantap dalam sukan akuatik.
“Kita masih ketinggalan dalam sukan ini kerana pembangunan berkaitan itu belum bertapak di Terengganu selain kurangnya pendedahan atlet terhadap kejohanan-kejohanan tertentu.
“Di negeri lain, individu itu sendiri mengambil inisiatif menyertai mana-mana kelas latihan berbayar atau menyertai kelab renang, tetapi perkara ini tidak berlaku di Terengganu bermungkinan kurangnya sokongan keluarga dan infrastruktur berkaitan itu,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, MSN memandang serius terhadap sukan renang ini kerana ia menawarkan pungutan pingat paling banyak setiap kali Sukma dianjurkan di mana-mana negeri.
“Program Mengenalpasti Bakat ini adalah permulaan kepada kami walaupun kami sedar ia memerlukan masa yang lama untuk memperoleh hasilnya.
“Kami akan mengumpul sebanyak mungkin bakat-bakat muda untuk diserapkan di bawah kendalian persatuan dan mereka yang terpilih akan didedahkan kepada banyak pertandingan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment