Wednesday, August 8, 2012

Polis Lancar Kempen Keselamatan Memandu


Polis kontinjen Terengganu akan melancarkan operasi khas untuk membantu orang ramai agar dapat mematuhi peraturan lalu lintas sempena musim cuti perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Polis Negeri, Senior Assistan Kommisioner, Datuk Jamshah Mustapa berkata, dalam hal ini, pihaknya akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan kempen keselamatan jalan raya supaya kadar kemalangan yang biasanya meningkat sempena musim perayaan itu dapat dikurangkan.


Jamshah berkata, aliran trafik di negeri ini dijangka meningkat lebih dua kali ganda memandangkan Terengganu menjadi laluan utama perantauan, khususnya mereka yang berasal dari Terengganu dan Kelantan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang Aidilfitri nanti.

“Apabila berlaku kesesakan, orang akan cepat marah, tidak sabar dan ini menyebabkan berlakunya kes memotong di garisan berkembar.

“Kita akan melancarkan operasi dalam masa terdekat sebaik mendapat arahan dari pihak Bukit Aman dan kali ini kita akan bersama dengan NGO untuk melancarkan kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya agar berhati-hati dan patuh pada undang-undang lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan program bersama masyarakat setempat, dekat sini. Mengenai lokasi kemalangan maut di Dungun, beliau berkata, kemalangan boleh berlaku di mana-mana.

“Polis akan memberi perhatian kepada beberapa lokasi utama yang sudah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan maut.

“Bagaimanapun semua pengguna harus sentiasa mengutamakan keselamatan agar mereka dapat pulang dengan selamat bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment