Wednesday, August 8, 2012

Ketengah Holding Peroleh RM68.8 Juta

Ketengah Holding Sdn. Bhd. (Ketengah Holding), anak syarikat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM68.8 juta bagi tahun 2011.

Pengurus Besarnya, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, keuntungan besar itu disumbangkan melalui sektor perladangan dan perkilangan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, kumpulan syarikat berkenaan akan mengeluarkan zakat sebanyak RM1.324 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

''Keuntungan turut disalurkan kepada keperluan sosial masyarakat dalam Wilayah Ketengah seperti Tabung Amanah Masyarakat Ketengah yang dikhususkan kepada golongan kurang berkemampuan dan kurang upaya.

''Pada masa ini, tabung diuruskan oleh Bahagian Kesejahteraan Rakyat dan kini mempunyai dana berjumlah RM1.076 juta. Sebanyak RM727,800 akan diagihkan kepada mereka yang layak,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Dungun.

Daripada peruntukan disediakan, menurut beliau, seramai 3,413 penerima layak menerima manfaat daripada tabung tersebut tahun ini.

Sementara itu katanya, bagi tahun depan, Ketengah telah memohon peruntukan sebanyak RM60.1 juta melibatkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan wilayahnya.

Menurut beliau, ia merangkumi perbelanjaan pengurusan sebanyak RM36.3 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM23.7 juta melibatkan 32 projek dan program.

Tambahnya, tumpuan akan diberikan bagi pembesaran dan pembangunan bandar-bandar dalam wilayahnya iaitu sejajar untuk melihat perbandaran Ketengah terus berkembang.

Penekanan kepada pertambahan ruang niaga juga dititikberatkan bagi mengimbangi kegiatan sosioekonomi masyarakat khususnya yang tinggal di luar bandar, kata beliau.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment