Thursday, August 30, 2012

'Saya Tak Akan Maafkan Pembunuh Bapa' - Anak Mat Keya

Abdul Hadi sempat solat jenazah di pusara Allahyarham Mat Keya selepas melawat keluarga mangsa.
 “Saya tak akan maafkan orang memperlakukan bapa saya sebegitu kejam, penjenayah itu perlu terima hukuman yang berat.” Demikian kata Hafizudin, 17, anak bongsu Allahyarham Mat Keya Jusoh, 54, yang maut ditembak di Bukit Chempedak di Marang, Ahad lalu.

Menurut pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan ini, meskipun dia reda takdir menimpa bapanya itu, namun berharap penjenayah terbabit dikenakan hukuman berat.

“Saya berharap polis menyiasat kes ini dengan teliti bagi membolehkan penjenayah terbabit segera ditangkap dan menerima hukuman berat,” katanya.

Keluarga mangsa sebelum itu menerima lawatan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahaya dan Ketua Balai Polis Wakaf Tapai, Rozali Othman, petang semalam.

Isteri mangsa, Sepiah Mamat, 53, melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan orang ramai terhadap keluarganya. Malah, dia sama sekali tidak menyangka nasib keluarganya mendapat simpati dan perhatian pelbagai pihak.

“Sejak berita itu dikeluarkan, ramai melahirkan rasa simpati, ucap takziah dan minta kami tabah,” katanya.

Nasib malang dialami ibu lima anak dan keluarganya itu turut mendapat perhatian pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, diketuai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mohamad Mahamud.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka. Meskipun ada juga yang saya tidak kenali, mereka semua prihatin. Ia sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan yang ditanggung kami sekeluarga, khususnya anak,” katanya.

Sepiah berkata, kebanyakan mereka yang mengetahui melalui media datang melawat keluarganya. Penduduk kampung juga menyampaikan sumbangan wang dan bekalan makanan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut melawat keluarga mereka di Bukit Chempedak di sini, pagi semalam. Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan agar bersabar menerima dugaan.

Beliau turut menziarahi pusara Allahyarham Mat Keya dan mengadakan solat jenazah di Tanah Perkuburan Bukit Chempedak.

Semalam memaparkan polis kini menubuhkan unit khas untuk menyiasat kes pembunuhan Mat Keya. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Superintendan K Manoharan, pasukan unit khas itu diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Zani Che Din.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment