Tuesday, August 14, 2012

Stadium Sultan Mizan Mula Dibaiki Selepas Raya - Za'abar


Kerja-kerja membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini yang bumbungnya runtuh tiga tahun lalu bakal dimulakan selepas Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, anggaran awal sebanyak RM120 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih melibatkan keseluruhan struktur stadium itu.

Katanya, ia meliputi kerja-kerja membaik pulih lantai, tiang, tempat duduk penonton, struktur kalis air, pendawaian elektrik sementara serta kerja-kerja berkaitan mekanikal.


"Kajian keseluruhan bagi pembaikan stadium itu telah siap dan kita akan mulakan kerja-kerja baik pulih selepas Hari Raya Aidilfitri, namun kita tidak tidak tahu peruntukan sebenar setakat ini kerana ia akan dinilai selepas tender dibuat dan fasa pertama siap.

"Bagaimanapun, sebanyak RM14 juta diperuntukkan untuk peringkat awal ini dan ia juga melibatkan proses reka bentuk struktur bumbung baru yang dibina agar tidak membebankan struktur asal," katanya

 Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) berkenaan status terkini kes stadium itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Pada 2 Jun 2009, selepas kira-kira setahun digunakan bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2008, stadium itu mengalami kerosakan apabila bumbungnya di lokasi menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Dalam pada itu, Za'abar turut memaklumkan sebahagian tender untuk projek membaik pulih itu dibuat secara lantikan terbuka manakala sebahagian lagi melalui kerajaan negeri.

"Kita buat begitu supaya kerja-kerja tertentu dilakukan kontraktor yang khusus dalam bidang itu manakala kerja-kerja sampingan lain kita akan buka kepada umum," katanya.

Sementara itu persidangan yang sama, diberitahu, kerajaan negeri  meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM298.4 juta melibatkan perbelanjaan pembangunan dan bekalan tambahan tahun 2012.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM173.2 juta diperuntukkan kepada Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri melibatkan perbelanjaan pembangunan meliputi 17 buah projek.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan, ia merangkumi kos pembinaan istana di Cendering sebanyak RM80 juta; pengambilan tanah Pejabat Tanah dan Galian bernilai RM18 juta serta 15 projek pembinaan perumahan berjumlah RM75.2 juta.

"Antara projek perumahan yang terlibat ialah rumah kos rendah (RKR) Banggol Tuan Muda; RKR Padang Kubu, Kemaman; RMM Bukit Gasing, Marang; Rumah Mesra Rakyat Kampung Batin; RKR Padang Luas, Besut; RKR Paya Lawan, Dungun serta pembangunan perumahan kos rendah di Pulau Perhentian," katanya.

No comments:

Post a Comment