Friday, August 24, 2012

Suspek Utama Kes Pukul Guru, Anak Serah Diri Malam Semalam

Seorang daripada tujuh suspek yang terlibat dalam kes menyerang seorang guru dan anaknya di Jalan Sultan Mahmud di sini, awal pagi semalam tampil menyerah diri Rabu malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata suspek utama yang juga pemilik kereta Perodua Myvi itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 11 malam hari yang sama.

Katanya suspek yang berusia 26 tahun itu juga turut membuat laporan polis dengan mendakwa anak guru yang berusia 20 tahun itu terlebih dahulu menimbulkan provokasi dengan menunjukkan isyarat lucah kepadanya empat lagi rakannya di dalam kereta pada kejadian 12.30 tengah malam itu.

"Kita sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas kedua-dua laporan yang telah dibuat dan polis juga akan mengambil tindakan ke atas semua pihak yang terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Terengganu, semalam.

Manoharan berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara punca suspek bertindak sedemikian.

Dua beranak itu dilaporkan cedera di muka, kepala dan badan setelah diserang dan dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali di Jalan Sultan Mahmud  lewat tengah malam Selasa.

Laporan sebelum ini memetik Manoharan sebagai berkata dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, guru yang berusia 46 tahun tersebut bersama isteri dan tiga anak mereka dalam perjalanan dari Chendering ke Kuala Terengganu.

Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk, kereta yang dinaiki keluarga guru itu dihimpit sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima lelaki, dengan seorang daripada mereka menunjukkan isyarat lucah

 "Guru berkenaan tidak mengendahkan kelima-lima lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan. Namun ketika sampai di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Sultan Mahmud, kenderaannya dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dinaiki tiga lelaki, memaksanya berhenti," katanya pada sidang media, kelmarin.

Manoharan berkata Perodua Myvi itu yang mengekori turut berhenti di sisi kereta guru berkenaan sebelum suspek bertindak membuka pintu kereta dan menarik anak lelaki guru tersebut yang berusia 20 tahun.

Isteri mangsa juga turut ditolak kumpulan lelaki tersebut, katanya.

No comments:

Post a Comment