Friday, August 24, 2012

Dua Gergasi Bermula Sumbang, Terengganu Memang Bergaya

Gol kedua yang dijaringkan Ismail Faruqi meranapkan harapan Kelantan untuk kembali mendekati jurang.
Langkah sumbang mengiringi dua gergasi bola sepak tempatan - Kelantan dan Selangor -  apabila masing-masing membuka kempen Piala Malaysia dengan kekalahan, malamkelmarin.

Terengganu mencipta kemenangan bergaya 2-0 ke atas juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan dalam pertembungan dua jaguh Pantai Timur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Penjaring terbanyak saingan Liga Super, Francis Forkey Doe menjaringkan gol sulung Terengganu seawal minit ke-3 melalui tandukan selepas menerima hantaran Ismail Faruqi (gambar kanan).

 Ismail Faruqi (tengah) diasak empat pemain Kelantan pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malams emalam.


Nasib Kelantan bertambah malang apabila Daudsu Jamaluddin menerima kad merah akibat mengasari Mohd. Muslim Ahmad pada minit ke-67 sebelum skuad bimbingan Peter Butler itu memastikan tiga mata penuh menjadi milik Terengganu selepas Ismail menjaringkan gol kedua menerusi hasil gerakan bersama Forkey.

Sementara Misi 33 Selangor pula menerima tamparan hebat apabila dikejutkan oleh Sarawak 1-2 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Negeri Kuching.

Mohd. Fitri Shazwan Riduan bagaimanapun terlebih dahulu meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-10 sebelum disamakan Mohd. Ashri Chuchu, lapan minit kemudian namun pemain berjersi 33, Bobby Gonzales muncul wira skuad Bujang Senang dengan gol kemenangan pada minit ke-64.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turun tanpa tonggak import tidak menghadapi masalah besar meraih kemenangan 2-0 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman. Gol ATM disumbangkan K. Reuben pada minit ke-20 dan sepakan penalti yang diambil oleh Zaquan Adha pada minit ke-81.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang berhempas pulas menundukkan T-Team 3-2 walaupun Mohd. Azamuddin Mohd. Akil dan Mohd. Hafiz Kamal meletakkan Pahang dengan jaringan 2-0 pada minit ke-16 dan 51.

Nor Fadzly Alias merapatkan jurang pada minit ke-64 buat T-Team namun Mohd. Faizol Hussin kembali mengukuhkan kedudukan Pahang pada minit ke-84 sebelum Zairo Anuar Zailani cuba merapatkan kedudukan sekali lagi pada minit ke-90 tetapi ia sudah terlewat menyekat kemenangan Pahang.

Pemain gantian, Fahrul Razi Abdullah menyelamatkan maruah Perak apabila jaringannya pada minit terakhir perlawanan membantu skuad Kejor Yob Kejor mengikat Sime Darby 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang terlebih dahulu memimpin perlawanan menerusi Leandro Teofilo pada minit ke-65.

Di Stadium Hang Jebat, jaringan Khairul Izuan Abdullah pada minit ke-51 masih belum cukup buat Negeri Sembilan meraih kemenangan apabila Eddy Viactor berjaya mencuri satu mata buat Felda United pada minit ke-84 untuk mengikat juara bertahan itu dengan keputusan 1-1.

Johor FC pula gagal mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan naib juara Liga Super, Lions XII di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Satu lagi saingan Kumpulan A turut memperlihatkan PKNS dan Johor sekadar seri 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

No comments:

Post a Comment