Biarpun aksi ala ‘yo-yo’ yang dipamerkan dalam Liga Super, pasukan berstatus kelab Pantai Timur, T-Team tetap menaruh keyakinan tinggi mampu melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia yang bakal membuka tirai Rabu ini.
Apa yang perlu dilakukan pasukan bimbingan Yunus Alif itu ialah kena bekerja keras bagi melepasi peringkat Kumpulan D yang diundi bersama Pahang, Selangor dan Sarawak.
Pengurus Pasukan T-Team, Rozi Mamat, berkata ujian pertama T-Team dalam kempen Piala Malaysia bertemu pasukan jiran, Pahang sebelum menanti kunjungan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, dengan prestasi yang ditunjukkan pemain dalam latihan dan beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini memberi gambaran yang mereka sudah bersedia menghadapi piala itu.
Mesti bekerja keras
“Saya yakin dengan kemampuan jurulatih dan barisan pemain dalam pasukan ini, tetapi apa yang diharapkan adalah mereka mesti bekerja keras dalam setiap perlawanan yang dihadapi kerana Piala Malaysia lebih mencabar.
“Jika tahun lalu kita berjaya melangkah ke separuh akhir, jadi tahun ini kita mesti menebus kehampaan itu sekali gus melangkah ke pentas final,” katanya yang ditemui di Kuala Terengganu, semalam.
Katanya, kehadiran tiga pemain iaitu Sumerdi Hajalan dan Shahrul Azhar Ture dari Sabah yang masing-masing di posisi tengah dan pertahanan sementara pemain PDRM, Mohd Fauzi Abd Majid yang bermain di posisi penyerang dapat memantapkan T-Team.
“Kita yakin ketiga-tiga pemain ini dapat membantu T-Team merebut slot terbaik dalam kempen piala berprestij ini dan sekarang mereka dalam proses menyesuaikan diri bersama pasukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment