Sunday, August 26, 2012

Terengganu Bina Jalan, Jambatan Atasi Kesesakan - Ahmad Said

Ahmad Said (tengah) menggoreng mi sambil diperhatikan oleh Ahmad Razif Abd Rahman (kiri) pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat DUN Seberang Takir di Kuala Terengganu, semalam.
Masalah kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud dan sekitar pusat bandar raya ini dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun lagi apabila empat jambatan baru akan dibina dan siap dalam tempoh itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika memberi jaminan itu berkata, empat jambatan itu adalah Jambatan Manir, Jambatan Seberang Takir, Jambatan Bukit Tumbuh dan Jambatan Pulau Sekati di Kuala Terengganu.

Beliau memberitahu, bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan memohon kerjasama Kerajaan Persekutuan bagi membantu projek pembinaan kesemua jambatan berkenaan termasuk dari segi kos.

Ahmad Said berkata pembinaan dua jambatan akan diberi keutamaan iaitu jambatan yang menghubungkan Seberang Takir dengan pusat bandar dan jambatan Kampung Losong yang menghubungkan Pulau Sekati dan Teluk Pasu.

"Bagi jambatan Seberang Takir-pusat bandar, kini kerja-kerja reka bentuk peringkat akhir sedang dalam proses untuk disiapkan manakala pengeluaran tender akan dikeluarkan pertengahan tahun depan.

"Bagi jambatan Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu, kerja awal di tapak pembinaan sedang berjalan. kedua-dua jambatan berkenaan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka hari raya Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman di Seberang Takir semalam.

No comments:

Post a Comment