Piala Malaysia menjadi harapan tunggal buat jaguh Pantai Timur, Terengganu untuk mengubat kekecewaan mereka gagal menjulang sebarang trofi musim ini selepas kecewa dalam perebutan Piala FA dan Liga Super.
Namun bagi penolong pengurus skuad Peteh, Sheikh Ahmad Tajudin Sheikh Yusof, pasukannya tidak mahu keghairahan itu memakan diri sendiri kerana sedar hakikat Terengganu berada dalam kumpulan maut bersama Kelantan, Kedah dan Tentera.
“Saya begitu terkejut dan ini satu cabaran besar buat kami. Saya tidak pasti keupayaan sebenar Tentera kerana mereka beraksi di Liga Perdana.
“Kedah pula cukup liat setiap kali bertemu Terengganu tetapi kali ini skuad Peteh akan cuba yang terbaik. Saya percaya semua pemain kian bersemangat untuk bermain,” katanya kepada BH Sukan, semalam.
Dalam undian Piala Malaysia yang dilakukan kelmarin, skuad kendalian Peter Butler itu diletakkan dalam Kumpulan B bersama penyandang juara Liga Super, Kelantan dan juara Liga Perdana, Tentera, selain Kedah.
Pencapaian terbaik Sang Penyu musim ini adalah melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA dan tempat kelima saingan Liga Super dengan mengumpul 41 mata, ketinggalan 19 mata di belakang The Red Warriors yang muncul juara.
Ditanya mengenai senarai pemain yang akan memperkuatkan Terengganu kali ini, Sheikh Ahmad Tajudin menegaskan tidak ada seorang pun pemain pinjaman akan menyertai pasukan sebaliknya menaruh kepercayaan penuh dengan pemain sedia ada.
“Kita sudah terlepas dua piala tetapi kami mengambil keputusan untuk tidak mengambil pemain pinjaman untuk saingan kali ini.
Saya percaya pemain yang ada sekarang mampu untuk membantu pasukan memenangi Piala Malaysia musim ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment