Monday, August 6, 2012

Terengganu Yakin Lahir Jagoan Takraw

Rahsia Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) kini terbongkar!

Perundingan sulit dengan saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini di peringkat terakhir dan bukan lagi rahsia antara beberapa pengamal sukan sepak takraw di negara ini.

Menurut Presiden PSTNT, Mohd Shapian Ali, sekiranya apa yang dirancang menjadi kenyataan, Terengganu bakal mempunyai ramai jagoan sepak takraw dalam masa terdekat ini.


Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia berkata, hasil cipta saintis UKM itu akan memberi kelebihan kepada pemain sepak takraw, bukan saja di Terengganu malah seluruh negara.

“Cuma kami terbabit dari peringkat awal lagi dalam usaha reka cipta pakaian khas untuk pemain sepak takraw dan kami juga yang menjadi pemegang paten kepada ciptaan baru itu.

“Dengan hanya berbekalkan modal kurang RM100,000, kami yakin dapat mengeluarkan pakaian sepak takraw berteknologi tinggi itu yang kami jangka menggegarkan arena sepak takraw di seluruh dunia,” katanya di majlis berbuka puasa anjuran PSTNT di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, Terengganu kelmarin.

Katanya, pakaian yang menggunakan fabrik yang belum boleh diumumkan komposisinya pada masa ini, dapat memberi kelebihan ketara kepada pemain yang memakainya.

“Pemakai akan berasa selesa tanpa sebarang sekatan seakan-akan mereka tidak berpakaian langsung dan fabrik istimewa itu juga boleh menyerap impak pukulan bola ke badan supaya pemakai tidak merasa sakit apabila terkena bola.

“Selain itu, pakaian ciptaan baru itu dapat menyerap haba dan respirasi untuk mengekalkan suhu badan pemain di tahap rendah sepanjang perlawanan dan semua ini dapat mengelakkan pemain daripada hilang tumpuan kerana keletihan,” katanya.

Mohd Shapian turut mengumumkan had 64 regu yang akan diterima bertanding dalam Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka Terengganu di Stadium Negeri Kuala Terengganu pada 7 dan 8 September ini.

“Kejohanan pertama ini menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri setuju memperuntukkan dana selepas Terengganu berjaya meraih tiga pingat emas di Sukan Malaysia di Pahang baru-baru ini.

“Pertandingan ini juga bertujuan memberi peluang kepada peminat sepak takraw di negeri ini untuk menyaksikan aksi sepak takraw peringkat tertinggi di mana ramai pemain terbaik negara akan mengambil bahagian,” katanya.

Pada sidang akhbar sama, Mohd Shapian turut memperkenalkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Belgium, Ben Lentacker, dan setiausaha persatuan, Alexa Matthys, yang datang memohon bantuan PSTNT untuk meningkatkan mutu sukan sepak takraw di negara mereka.

Lentacker berkata, sepak takraw sudah menjadi semakin popular di Eropah dan hampir 10 negara termasuk Jerman, Austria, England, Belanda dan Sweden mempunyai persatuan dan kelab sepak takraw mereka sendiri.

“Di Belgium, kami mempunyai lebih 40 regu sepak takraw lelaki dan wanita yang amat memerlukan bimbingan daripada pasukan handal seperti Terengganu.

“Kami sedia menghantar pasukan untuk bertanding di sini dan berhasrat untuk melakukan pertukaran pemain sepak takraw di kalangan pelajar sekolah menengah,” katanya.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment