Seorang ibu tidak menyangka tindakan anak ketiga daripada lima beradik tidur bersamanya di ruang tamu malam kelmarin, adalah saat terakhir dia bermanja dengan anaknya itu apabila remaja lelaki itu pergi buat selama-lamanya, semalam.
Mohd Zakuam Noor IIman Mohd Zulkifli, 20, dari Tok Jiring di maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas kereta dinaiki bersama rakan sekerjanya, Muhamad Razali Adam, 40, terbabit dalam kemalangan di Kilometer 36.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Serating di Marang, pagi semalam.
Marizan Ismail, 40, yang tidak dapat menahan sebak berkata, Mohd Zakuam yang sepatutnya berada di Kemaman, pulang semata-mata untuk berbuka puasa bersama keluarga petang kelmarin, sebelum tidur bersamanya di ruang tamu.
"Arwah baru dua hari bekerja bawa lori tanah di Kemaman dan sepatutnya dia bermalam di sana bersama pemandu. Namun, tiba-tiba petang kelmarin arwah muncul di rumah. Dia pulang menumpang seorang jiran kami yang bekerja di sana.
Malamnya saya tidak ikut bapanya, Mohd Zulkifli Salleh, 48, ke surau untuk solat Tarawih dan hanya menemankan arwah di rumah yang kepenatan. Ketika itu kami berbual sambil menonton televisyen dan selepas bermanja tertidur dengan saya di ruang tamu.
Pagi tadi (semalam) sebelum keluar rumah jam 8.30 pagi seperti biasa dia mencium tangan saya. Namun, saya tidak sangka itu adalah saat terakhir saya dapat bermanja dengannya, katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, semalam.
Marizan berkata, arwah memang seorang anak soleh dan taat ibu bapa, malah sejak mula bekerja sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), arwah tidak pernah lupa memberinya wang setiap bulan.
Selain Mohd Zakuam yang maut, kemalangan itu juga menyebabkan tiga lagi cedera termasuk Muhamad Razali dan pemandu serta penumpang sebuah lagi kereta, iaitu Siti Nabilah Ismail, 25, dan ibunya, Rohani Senik, 53, dari Merchang, Marang.
No comments:
Post a Comment