Tiada sebarang "lampu hijau" diberikan kepada penganjur "Himpunan Janji Bersih" yang akan diadakan pada 30 Ogos ini, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad.
Beliau berkata, tiada sebarang kebenaran diberikan pihak polis kepada penganjur kerana Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2011 mensyaratkan penganjur memberi notis sepuluh hari sebelum perhimpunan diadakan kepada polis namun perkara itu gagal dilakukan oleh penganjur.
"Kalau menurut akta tersebut, penganjur telah melakukan kesalahan kerana tidak memberikan notis kepada kita...jadi dari pihak polis tiada sebarang kebenaran akan diberikan.
Cuma mereka berjanji kepada kita bahawa perhimpunan itu akan dilakukan secara aman," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, pada perhimpunan tersebut polis bersetuju memberikan kerjasama daripada segi kawalan trafik dan keselamatan sebagai langkah awal bagimengurangkan kesesakan lalu lintas dan sebarang kekecohan.
Menurutnya, perbincangan selama satu jam antara polis dan wakil penganjur di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam bertujuan menerangkan kepada penganjur berhubung syarat-syarat yang perlu dipersetujui sekiranya ingin menganjurkan perhimpunan tersebut seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman.
"Mereka (penganjur) memberitahu polis akan menganjurkan perhimpunan itu secara aman dan bersetuju akan mematuhi segala peraturan yang terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman seperti tidak akan mengadakan ceramah, ucapan, pemasangankain rentang (banner) atau membawanya semasa perhimpunan.
"Jadi kita berjumpa hari ini untuk mendengar apa yang mereka inginkan selainkita turut menerangkan kepada mereka peraturan yang perlu mereka patuhi sekiranya ingin mengadakan perhimpunan tersebut," katanya.
Katanya, polis turut menasihatkan penganjur agar dapat mengawal segala kelakuan peserta perhimpunan itu daripada bertindak liar serta menimbulkan kekecohan.
"Polis akan bertindak menahan peserta perhimpunan sekiranya mereka (peserta)melanggar akta yang telah ditetapkan," katanya.
Sementara itu, penganjur perhimpunan, Maria Chin Abdullah ketika ditemui pemberita selepas perjumpaan dengan Ketua Polis Daerah berkata pihaknya akan mengadakan dua sambutan kemerdekaan di dua lokasi berbeza dengan cara yang berlainan.
Beliau berkata, pihaknya telah bersetuju akan mengadakan perhimpunan di Jalan Sultan dan di Dataran Merdeka seawal pukul 10 malam dan akan bersurai selepas pukul 12 tengah malam.
"Kita telah bersetuju dengan pihak polis, tiada banner, sebarang sticker (pelekat), atau ucapan pada perhimpunan malam itu, cuma Pak Samad (A. Samad Said) akan menyampaikan puisi sahaja.
Kita berjanji perhimpunan itu akan diadakan dalam keadaan harmoni dan aman," katanya.
No comments:
Post a Comment