Tuesday, August 28, 2012
Komplot Curi Bateri Pencawang Telekomunikasi Di Marang
Malah, suspek berusia 36 tahun menggunakan modus operandi dengan memandu Mercedes-Benz serta lori dipandu rakan komplot untuk mengaburi mata umum ketika melakukan kegiatan jenayah itu.
Suspek yang melakukan jenayah itu bersama dua lagi rakannya berusia 40 dan 42 tahun, dipercayai mencuri 75 bateri seberat 1.47 tan bernilai RM190,000, sejak setahun lalu.
Dia bersama rakan jenayah yang juga peniaga barangan lusuh memperoleh keuntungan puluhan ribu ringgit, dengan menjual hasil curi itu kepada pengusaha besi buruk, yang kemudian mengambil tembaga di dalam bateri itu untuk dijual.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata kegiatan itu terbongkar selepas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang menyerbu kediamannya di Taman Tapai Indah, Wakaf Tapai, jam 1.30 pagi pada 24 Ogos lalu.
“Selepas disoal siasat, suspek membawa polis ke sebuah rumah yang diubah suai menjadi tempat pengumpulan besi buruk di Kampung Tanjung, Kedai Buluh, kira-kira jam 4.45 petang hari sama.
“Pemeriksaan menemui sebuah lori di belakang rumah itu yang di dalamnya mengandungi barangan curi itu selain siasatan mendapati perniagaan itu dijalankan tanpa lesen.
“Susulan penemuan itu, kita merampas semua barangan itu dan menahan dua lelaki terbabit dari Kampung Tanjung, Kedai Buluh, di sini yang ketika itu berada di lokasi kejadian,” katanya di Kuala Terengganu semalam.
Katanya, suspek meraih keuntungan besar kerana menjual hasil curi itu kepada sebuah kedai bahan lusuh berlesen di Chendering, Kuala Terengganu dan rekod menunjukkan 361 bateri dengan berat 4.7 tan dianggarkan bernilai RM162,400 sudah dijual kepada kedai berkenaan.
Bateri pencawang itu dijual pada harga RM2.10 sekilogram. Katanya, mereka sudah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment