Friday, August 10, 2012

Tunai Janji - BN Berpegang Kepada Al-Quran dan Sunnah

Datuk Seri Najib Razak disambut penduduk kampung ketika tiba ke majlis berbuka puasa sempena lawatan Perdana Menteri ke Terengganu di Kampung Padang Nenas, Kuala Terengganu,semalam.

 
Kerajaan Barisan Nasional (BN) berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dalam melaksanakan tanggungjawab dan janjinya kepada rakyat.

Kerana itu, BN  bersedia ditolak rakyat kalau janji  tidak ditunaikan. "..Kita sesama manusia pun perlu tunaikan janji, nak berniaga pun mahu berurusan dengan yang menepati janji dan kerajaan pun kita mahukan kerajaan yang menepati janji".


Disebabkan itu, tidak perlu mana-mana pihak untuk takut kepada tema Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan 'Janji Ditepati'.



“Bila kami janji, Islam menuntut kami menepati janji yang dibuat. Jadi bila janji, kami akan tepati janji kami, " kata Perdana Menteriketika berucap pada majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Padang Nenas di Kuala Terengganu yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said serta pemimpin negeri.

“Dalam Islam sendiri, kita diwajibkan menunaikan janji yang dibuat tanpa mengira fahaman politik sama ada Barisan Nasional atau tidak kira sesiapa.

“Jika kami tidak menunaikan janji, kami adalah munafik dan Barisan Nasional adalah kerajaan yang berpegang pada prinsip yang mana setiap janji yang dibuat mesti ditepati....kerajaan sentiasa berusaha menepati janji yang dibuat kepada rakyat bagi memastikan kesejahteraan hidup mereka terjamin, " katanya.

Berikutan itu 'Janji Ditepati' sama sekali tidak merupakan retorik politik sebaliknya ia berlandaskan kepada tuntutan agama.

Perdana Menteri menegaskan tema ini berpaksikan kepada rukun agama. "Kita (BN) berjuang untuk tepati janji kepada rakyat. Kita akan tepati janji kita untuk beri kepercayaan pada rakyat. Kita mahu membuktikan negara kita adalah negara Islam contoh."

Najib berkata dalam Islam jika setiap janji itu tidak dikotakan ia boleh dianggap sebagai munafik.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata rakyat perlu bersyukur dengan nikmat berada dalam sebuah negara yang makmur seperti Malaysia.

"Dalam bulan puasa ini kita dapat menjalani ibadah dengan sempurna tidak seperti di negara-negara lain. "BN telah berjaya membela rakyat melalui pelbagai program dan berharap rakyat akan terus memberikan sokongan kepada BN," katanya.

Najib kemudiannya menyampaikan sumbangan ihsan Ramadan kepada anak yatim, orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Beliau selepas itu menunaikan solat Maghrib di Masjid Kampung Padang Nenas dan menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih di Masjid Wakaf Tembesu sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

No comments:

Post a Comment