Friday, August 10, 2012

Kerajaan Negeri Setuju Selaras Dana Bantuan

 

Kerajaan negeri bersetuju menyelaraskan dana-dana bantuan berkaitan kesihatan yang disediakannya bagi membantu golongan sasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, sebagai usaha awal, jawatankuasanya telah mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahaya Khatib Mohmad baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua jawatankuasa itu bersetuju menyelaraskan dana yang disediakan oleh kerajaan negeri iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Sosial Perubatan dan Tabung Penyakit Kronik.

Beliau berkata, melalui perbincangan itu mereka bersetuju supaya Tabung Darul Iman yang juga di bawah Pejabat Menteri Besar diletakkan di bawah penyelarasan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.

Isnin lalu ( 6 Ogos 2012), Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri meminta kerajaan negeri menyelaraskan dana-dana bantuan berkait dengan kesihatan yang disediakan bagi golongan sasar agar tidak berlaku pertindihan dan menjejaskan peluang pesakit lain.

Katanya, pada masa ini kerajaan negeri menyediakan tiga dana iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Penyakit Kronik dan Dana Kesihatan melalui beberapa saluran.

Setiap tahun kerajaan negeri menyediakan peruntukan antara RM2 juta dan RM10 juta setahun bagi membantu golongan sasar yang dikategorikan mengikut keperluan.

Sebagai contoh, Dana Kesihatan diperuntukkan sebanyak RM2 juta setahun melalui Exco Kesihatan untuk membiayai keperluan rawatan dan penjagaan pesakit bagi meringankan beban kewangan keluarga pesakit yang tidak berkemampuan.

Begitu juga dengan Tabung Penyakit Kronik yang disalurkan melalui Exco Kebajikan yang tujuannya hampir sama untuk membiayai rawatan dan penjagaan pesakit.

''Ada sesetengah pesakit akan memperoleh bantuan lebih daripada satu dana kerana pesakit akan memohon bantuan melalui dana yang disediakan oleh kerajaan.

''Apabila bantuan disampaikan, didapati ada sebilangan daripada mereka telah menerima bantuan sebegini dan ini seolah-olah menafikan hak orang lain yang turut memerlukan bantuan,'' katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan Dana Kesihatan kepada pesakit melalui program Doktor Turun Padang di kawasan Parlimen Kuala Nerus melibatkan lima kampung, iaitu Bukit Tumbuh, Bukit Tunggal, Teluk Pasu, Alor Jambu dan Kebor Air.

No comments:

Post a Comment