Sunday, August 26, 2012

Ummi Raih Tempat Ke 11 Keirin Trek Remaja Dunia


Ummi Hamimah Mohamad sekali lagi mempamerkan kayuhan mantap untuk mengakhiri saingan keirin di tempat ke-11 pada Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia di Invercargill, New Zealand, semalam.

Pemenang pingat perak Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Remaja 2012 dalam acara pecut itu, menduduki tempat kelima dalam perlumbaan klasifikasi 7-12 selepas tewas dalam pusingan kedua yang menyebabkannya kempunan layak ke final.


Terdahulu, Ummi tewas dalam saringan dua pusingan pertama apabila sekadar menghuni tempat keempat daripada lima pelumba bertanding, namun anak kelahiran Terengganu itu bangkit di saingan repechage, cemerlang merebut tempat ketiga di belakang Lidia Pluzhnikova dari Rusia dan pelumba tuan rumah Kate Dunlevey untuk mara ke pusing kedua.

Namun ternyata banyak lagi perlu dipelajari Ummi apabila dia gagal memberikan cabaran kepada lima pesaingnya untuk berada di tempat tercorot, dan di saingan klasifikasi, dia setidak-tidaknya mencuba sedaya upaya bagi menamatkan sebaik mungkin di tempat kelima, atau ke-11 keseluruhan.

Ummi yang turut cemerlang memperbaiki catatan peribadi dalam 200m pecut kelmarin, bakal kembali ke velodrom hari ini bagi melengkapkan acara terakhirnya iaitu 500m ujian masa.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment