Monday, September 17, 2012

Elaun 5 Pegawai, Penolong Jurulatih T-Team Tertunggak?


"Kita bukan tak ada duit malah kita sedia untuk bayar kepada mereka, cek pun dah dikeluarkan cuma terbantut seketika kerana masalah teknikal...Saya sangat sedih dan dakwaan ini cukup berat, ada niat yang tidak baik dan cuba menangguk di air keruh pada pasukan (T-Team) yang sedang dilanda kemelut."  - Rozi Mamat

Pengurus T-Team, Rozi Mamat terkejut dengan dakwaan pihak tertentu bahawa lima pegawai termasuk penolong jurulatih pasukan berstatus kelab itu masih belum menerima elaun yang tertunggak sejak tiga bulan lalu.

Beliau menyifatkannya sebagai satu dakwaan berat dan mempunyai niat tertentu sehingga boleh menjejaskan reputasi pasukan berkenaan.

"Saya sangat sedih dan dakwaan ini cukup berat, ada niat yang tidak baik dan cuba menangguk di air keruh pada pasukan (T-Team) yang sedang dilanda kemelut.

"Dakwaan ini tidak berasas dan tidak benar, saya tak tahu daripada mana mereka mendapat laporan ini. Kalau ada mana-mana pemain atau jurulatih yang tak dibayar gaji atau elaun, tolong beritahu saya. Sebenarnya kita sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Kejohanan Lumba Basikal Terengganu Century Ride sempena sambutan Hari Malaysia di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu semalam.

Rozi diminta mengulas laporan akhbar mengenai kekesalan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said terhadap pengurusan T-Team yang didakwa gagal melunaskan tunggakan elaun lima pegawai termasuk penolong jurulatih pasukan itu sejak tiga bulan lalu.

"Setahu saya, hanya tiga pegawai di peringkat pengurusan pasukan itu yang masih belum dibayar elaun untuk bulan Ogos, bukannya tertunggak tiga bulan seperti mana didakwa.

"Hanya tiga orang sahaja pegawai yang belum menerima elaun, itu pun hanya untuk bulan Ogos.

Kita bukan tak ada duit malah kita sedia untuk bayar kepada mereka, cek pun dah dikeluarkan cuma terbantut seketika kerana masalah teknikal," ujarnya.

Beliau menambah, apa yang lebih penting, orang yang terlibat secara langsung dengan pasukan diberi keutamaan.

Katanya, gaji dan elaun para pemain mesti dibela malah pihaknya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menjaga kebajikan para pemain pasukan berkenaan.

1 comment:

  1. Pasukan Profesional hendaklah diuruskan oleh orang yang profesional barulah mantap.

    Pemain dah profesional tetapi pengurusan masih belum profesional. Maksudnya, pengurusdan pasukan hendaklah mereka yang kerjajaya 100% menguruskan pasukan, bukannya seoran ADUN ataupun ahli politik.

    ReplyDelete