Monday, September 24, 2012

FAMA Terengganu Bantu Golongan Miskin Usahakan Ternakan Lembu

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu mengagihkan 16 ekor lembu bernilai RM36,000 kepada empat keluarga miskin, di daerah Besut semalam.

Pengarah Fama negeri, Hasan Jusoh berkata pengagihan itu bertujuan membantu keluarga tersebut mengusahakan ternakan lembu secara kecil-kecilan, sekali gus membebaskan mereka daripada kepompong kemiskinan.

"Kita bagi seekor lembu jantan dan tiga ekor lembu betina bernilai kira-kira RM9,000 kepada setiap penerima bantuan itu," katanya di Kuala Terengganu.


Menurut Hassan empat penerima bantuan itu berasal dari beberapa buah kampung sekitar Besut iaitu, Kampung Anak Ikan, Kampung Bukit Payong, Kampung Bukit Keluang dan Kampung Tembila.

Beliau berkata bantuan lembu melalui program Azam Tani kepada golongan miskin itu, merupakan pertama kali dilakukan Fama Terengganu pada tahun ini.

"Tahun ini, Fama menyasarkan mambantu seramai 100 orang miskin melalui pelbagai bantuan dan setakat ini, seramai 30 keluarga miskin sudah dibantu dalam pelbagai bidang berkaitan asas tani," katanya.

Setelah berjaya mengusahakan ternakan lembu bantuan tersebut, Hasan berkata Fama akan membantu penternak lembu memasarkan hasil ternakan mereka terutama ketika Hari Raya Aidiladha.

"Hasil jualan itu kelak, mereka (penternak) boleh menggunakan modal itu untuk membeli lembu lain untuk diternak," katanya.

No comments:

Post a Comment