Wednesday, September 26, 2012

Hanya Atlet Terbaik Layak Sertai LTdL 2013

Jurulatih skuad basikal lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman tidak akan terpengaruh dengan pencapaian rekod lampau, sebaliknya hanya memilih pelumba berdasarkan pencapaian semasa.

Aminuddin yang lebih mesra dengan panggilan Wak itu berkata, tidak adil untuk menilai prestasi pelumba berdasarkan pencapaian lalu.

Menurutnya, mereka yang gagal menyerlah pada kejohanan tempatan tidak akan berada dalam senarai pelumba ke Le Tour de Langkawi 2013 (LTdL 2013).


“Sebagai permulaan, prestasi pelumba dinilai pada Kejohanan Grand Prix (GP) Kebangsaan Sirkit Sarawak. Jika mahu bersama skuad negara, mereka perlu menyerlah.

“Saya harap keputusan ini adil buat semua pelumba kerana peluang masih lagi terbuka. Kejohanan LTdL 2013 masih berbaki lima bulan,” katanya.

Bagi pelumba elit pula, beliau berkata, penilaian dilakukan dari masa ke semasa bagi memastikan mereka komited terhadap sukan itu dan menyerlah dalam setiap kejohanan yang disertai.

Antara pelumba itu ialah Mohd Zamri Salleh, Mohd Adiq Hussainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Loh Sea Keong dan Mohd Harrif Salleh.

Aminuddin berkata, cabaran pelumba bukan saja di LTdL, malah ujian sebenar ialah Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di New Delhi, India dan Jelajah Malaysia tahun depan.

Menurutnya, tiga kejohanan itu diharap menghasilkan keputusan positif dan pelumba yang bakal menyarung jersi negara tidak mempersia-siakan peluang beraksi pada kejohanan besar itu.

“Mereka perlu buktikan keputusan menyenaraikan mereka tepat dan sebagai menghargainya, mereka perlu catat keputusan membanggakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment