Wednesday, September 26, 2012

Muhyiddin Puji Kecemerlangan Terengganu Dalam Bidang Pendidikan

Muhyiddin bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu semalam.
Kecemerlangan Terengganu di bidang pendidikan hingga menjadi juara semua peperiksaan awam di negara ini, mendapat pujian daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.

“Kecemerlangan di bidang pendidikan di negeri Terengganu boleh menjadi contoh kepada negeri lain. Kejayaan ini agak sukar untuk ditandingan oleh negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Pemantapan Profesionalisme Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Peringkat Kebangsaan 2012 dan Makan Malam Bersama Warga Pendidik di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), malam semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah dan saf kepimpinan negeri, hadir sama.

Turut hadir PPD dari seluruh negara, pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu serta semua pengetua dan guru besar di seluruh Terengganu.

Terengganu muncul juara UPSR buat tahun ke-11 berturut-turut, PMR (empat tahun berturut-turut) dan SPM serta STPM tiga tahun berturut-turut. Pada 1 Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin sendiri menyampaikan sijil Malaysian Book of Records (MBOR) berikutan kejayaan Terengganu muncul sebagai juara UPSR buat tahun ke-11 berturut-turut yang telah mencipta rekod di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata proses pengstrukturan semula Pegawai Pelajaran Daerah akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Beliau berkata, proses berkenaan yang bakal menyaksikan penambahbaikan sistem pendidikan negara akan lengkap sepenuhnya menjelang tahun 2014.

Sementara  itu, bidang pendidikan dijangka terus diberi keutamaan dalam Bajet 2013 yang bakal dibentangkan Jumaat ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin, Bajet 2013 akan terus memberi keutamaan dalam bidang pendidikan bagi menyediakan masa depan lebih baik kepada rakyat untuk menghadapi persaingan global.

"Pada tahun lepas, sebanyak 26 peratus daripada peruntukan bajet disalurkan untuk bidang pendidikan. Saya berharap dalam bajet kali ini pendidikan tetap jadi keutamaan.

"Kita sudah mendapat jaminan Perdana Menteri bahawa kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pendidikan," katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga berharap isu rumah mampu milik untuk golongan sederhana dapat ditekankan agar nasib mereka terus terbela di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita tidak akan biarkan masalah ini berlarutan selagi kerajaan BN diberi mandat untuk memimpin negara dan saya harap ia juga akan dipertimbangkan dalam bajet itu nanti," katanya pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong di Kuala Terengganu semalam

Teganukita & Kosmo!

No comments:

Post a Comment