Monday, September 17, 2012

Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa di Terengganu

Halit Eren (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Engku Md. Azmi Engku Abd. Rahman sambil disaksikan oleh Mazlan Ngah (tengah) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman IRCICA & TTIMSB dan antara UniSZA, IQT dengan TTIMSB di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu, Jumaat lalu.
Terengganu akan mewujudkan Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa, yang pertama seumpamanya di rantau ini menjadi pelengkap terhadap kewujudan Taman Tamadun Islam (TTI) yang dibangunkan sebagai pusat pemaparan kecemerlangan ketamadunan dan budaya Islam di negeri ini.

Bagi tujuan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai di antara kerajaan negeri melalui Taman Tamadun Islam Management Sdn. Bhd. (TTIMSB) dengan Pusat Penyelidikan Sejarah, Kesenian dan Kebudayaan Islam Dunia (IRCICA) dari Turki, di Kuala Terengganu, Jumaat.

Ia bagi berkongsi kepakaran IRCICA, badan antarabangsa yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembelajaran sejarah, seni dan budaya Islam.
Majlis MoU itu diadakan bersempena penganjuran empat hari Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012 bermula Sabtu  hingga 17 September ini yang  disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 15 September.

Pada majlis itu, IRCICA diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Dr. Halit Eren manakala TTIMSB oleh Pengarah Urusannya, Engku Md. Azmi Engku Abd. Rahman.

Turut berlangsung, satu lagi MoU di antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Institut Quran Terengganu (IQT) dan TTIMSB bertujuan memfokuskan tenaga pengajar dan latihan, penyelidikan dan kajian serta pembangunan produk dan pemasaran berkaitan kaligrafi Islam.

Kedua-dua MoU tersebut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah IQT, Rozi Bidin.

Sementara itu, Mazlan berkata, pengiktirafan yang diberikan oleh IRCICA amat bermakna buat Terengganu kerana badan tersebut merupakan sebuah pusat penyelidikan dan pembelajaran sejarah seni dan budaya Islam dengan kepakaran khusus dalam bidang kaligrafi Islam bertaraf antarabangsa.

Katanya, dengan kerjasama yang dijalinkan, TTI dapat memasar, menjalankan program serta menganjurkan pelbagai acara yang bersifat antarabangsa sekali gus memberi impak kepada negeri ini.

"Terengganu merupakan negeri terbaik untuk IRCICA melebarkan sayap mereka apabila sejarah turut dicipta di sini berkaitan kaligrafi Islam kerana sebuah batu bersurat yang mempunyai ukiran tulisan Jawi pertama di negara ini telah ditemui di negeri ini.

"Justeru, pengiktirafan itu amat bersesuaian dengan matlamat kerajaan negeri untuk mempromosikan kaligrafi Islam kerana ia mendekatkan masyarakat dengan kesucian al-Quran yang juga ditulis dalam pelbagai seni kaligrafi," katanya kepada pemberita pada majlis itu.

Dalam pada itu, Halit memberitahu, buat permulaan, kira-kira 10 hingga 15 tenaga pengajar dari pusat penyelidikan tersebut akan dihantar ke Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa Terengganu yang akan ditubuh tidak lama lagi untuk membolehkan kepakaran mereka dapat dikongsi di institut tersebut yang dijangka menerima pelajar dari seluruh dunia.

"Sehingga kini, kita telah melatih kira-kira 100 pengukir kaligrafi dari 24 negara sehingga memperoleh ijazah dan mereka kini telah menjadi tenaga pengajar di negara mereka dan kita gelar mereka sebagai generasi pengukir kaligrafi IRCICA.

"Tempoh latihan yang kita berikan itu bergantung sejauh mana kemahiran dan kemampuan mereka, jika pandai mereka akan cepat mahir dalam seni itu," jelasnya.

Beliau mengaku Malaysia merupakan negara yang terbaik untuk mengembangkan usaha memartabatkan bidang kaligrafi Islam

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment