Sultan Mizan melawat pameran, selepas merasmikan Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2012 di Pusat Konvensyen TTI, Kuala Terengganu klmarin. |
Keberangkatan baginda telah disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah; Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan Sejarah, Seni dan Budaya Islam (IRCICA), Dr Halit Eren dan Pengerusi TTI, Datuk Zuber Embong.
Pada majlis itu juga, Sultan Mizan berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan melukis seni khat perkataan ‘Bismillah Hirrahmanirrahim’ pada skrin yang tersedia di sebelah pentas diraja.
Bertemakan ‘Beramal Menerusi Kesenian Islam’, festival tersebut yang berlangsung dari 14 hingga 17 September di TTI itu merupakan kesinambungan daripada ‘Inspirasi Seni Khat 2011’ yang dianjurkan pada tahun lepas.
Penganjuran kali ini melibatkan penyertaan 17 negara, meliputi Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand dan negara Asia lain seperti Jepun, China, India dan Pakistan.
Lebih menarik, penyertaan festival kali ini adalah dalam bentuk pertandingan penulisan khat, pameran, seminar dan bengkel seni khat yang dibimbing oleh kaligrafer ternama antarabangsa yang diundang khas. Antaranya Adnan Sheikh Othman dari Syria, Ms Nuria Garcia Macep (Sepanyol), Sherin Abdelsaber Abdelhalim (Mesir) serta Abdul Baki Abu Bakar dan Ustaz Halias Abu Bakar (Malaysia).
Sementara itu, Ahmad Said dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri bercadang membangunkan sebuah Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa di TTI, yang bakal diuruskan secara bersama oleh pihak TTI, Institut Al-Quran Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin, menggunakan modul pembelajaran yang diguna, dipantau dan diiktiraf oleh IRCICA.
“Institut ini diharap akan menjadi penawar kepada masyarakat nusantara dan Asia yang kini menanti-nantikan kehadiran pusat pembelajaran seumpamanya di rantau ini.
“Usaha ini diharap akan mengembalikan kecemerlangan sejarah Negeri Terengganu dalam mendaulatkan Islam, sebagaimana tersirat pada inskripsi jawi yang tertera pada Batu Bersurat Terengganu,” katanya.
Beliau menjelaskan, pembinaan institut itu dijangka menelan belanja RM18 juta ke RM20 juta dan akan dilengkapi dengan kemudahan dewan konvensyen, bilik mengajar, galeri pameran dan jualan.
Katanya, ia dijangka dilaksanakan pada tahun depan dan memakan masa 18 ke 24 bulan bagi menyiapkannya.
No comments:
Post a Comment