Harussani(tengah) menjawab soalan peserta pada Forum Pendermaan Organ di Ipoh semalam. Turut kelihatan, Fadzilah Zowiyah Lela (kiri) dan Mohamed Anis. |
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, walaupun ketiadaan organ peranakan itu tidak menjejaskan nyawa seseorang, hukum menderma rahim adalah harus.
"Bagaimanapun, dengan syarat rahim tersebut adalah daripada wanita yang sudah meninggal dunia dan penerima organ pula merupakan wanita mandul.
"Pemindahan rahim juga bertujuan untuk mendapat zuriat sesuai dengan perintah Allah di dalam al-Quran," katanya sewaktu menjawab soalan seorang peserta pada Forum Pendermaan Organ di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh. semalam.
Selain Harussani, turut menjadi panel pada program anjuran Unit Pendermaan Organ HRPB ialah Ketua Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan, Datin Dr. Fadzilah Zowiyah Lela Yasmin Mansor dan Pengurus Klinikal Transplan Kebangsan, Dr. Mohamed Anis Abd. Wahab.
Pembedahan pemindahan rahim pertama berjaya dilakukan Dr. Omer Ozkan di Hospital Universiti Akdeniz di Antalya, Turki pada 9 Ogos tahun lalu melibatkan seorang isteri muda, Derya Sert, 22, yang dilahirkan tanpa organ peranakan.
Dalam perkembangan sama, Harussani memberitahu, tiga syarat lain menderma organ dalam Islam adalah penderma mesti disahkan telah meninggal dunia, mendapat kebenaran keluarga penderma dan tidak melibatkan urusan jual beli.
Beliau berkata, kebenaran ahli keluarga amat penting kerana dari segi syarak, mereka berhak terhadap jenazah bakal penderma biarpun individu terbabit telah menandatangani akujanji pemindahan organ semasa hayatnya.
Fadzilah Zowiyah pula memberitahu, berdasarkan pengalamannya, kes halangan daripada ahli keluarga dalam isu pendermaan organ berlaku kerana mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu hayat bakal penderma.
"Jarang ahli keluarga membantah sekiranya mengetahui lebih awal hasrat si mati untuk menderma organ. "Oleh itu, saya sarankan individu yang berhasrat untuk terlibat dalam program tersebut agar menghebahkannya terutama kepada ahli keluarga terdekat," katanya.
No comments:
Post a Comment