Thursday, September 20, 2012
Sharbinee Syukur & Lega, Berharap Tidak Dipandang Serong
Penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli berharap tiada lagi pihak memandang serong terhadapnya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan dirinya daripada kes menjual perlawanan menentang Kedah, 1 September lalu.
Sharbineemelahirkan rasa syukur dan lega apabila disahkan bebas daripada dakwaan 'menjual perlawanan' ketika skuad Penyu menentang Kedah dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 1 September lalu.
Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa Sharbinee 'bersih' daripada dakwaan tersebut, sekali gus merungkai segala persoalan membabitkan bekas penjaga gol kebangsaan itu.
"Saya sangat berterima kasih kepada semua orang yang membantu dalam membersihkan nama saya. Sejak mula lagi, saya telah memaklumkan tidak terlibat dan keputusan ini membuktikan saya bersih.
"Saya juga berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan secara terperinci dan menyeluruh oleh SPRM," katanya ketika ditemui pemberita di pejabat PBSNT di Wisma Seri Amar, Kuala Terengganu semalam.
"Saya tidak tahu nak cakap apa lagi selain melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama SPRM dalam menyelesaikan kes ini.
Keputusan ini sekali gus membersihkan nama saya yang selama ini dituduh menjual permainan, katanya. Penjaga gol berasal dari Pulau Duyung, Kuala Terengganu itu mengakui tuduhan ke atasnya amat berat untuk ditanggung kerana ia bukan saja memburukkan nama baiknya tetapi turut dipandang serong peminat dan masyarakat.
Walaupun kecewa dengan tuduhan itu, Sharbinee mengakui ia sebahagian asam garam sebagai pemain bola sepak dan berazam untuk melupakan kemelut itu sekali gus membolehkannya kembali memfokuskan tumpuan kepada kerjayanya.
"Saya harap semua pihak termasuk peminat setia skuad Penyu dapat menerima keputusan ini. Saya juga ingin memohon maaf kepada rakyat Terengganu atas kesilapan tidak disengajakan menepis bola ke dalam gawang sendiri," katanya.
Ketika ditanya mengenai keputusannya meminta pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk musim depan, Sharbinee berkata, dia sudah memikirkan sedalam-dalamnya perkara itu.
"Jika ikutkan hati, saya memang berhasrat untuk terus berbakti bersama Terengganu tetapi akibat kemelut yang melanda ini mendorong saya untuk berubah angin bersama pasukan baru musim depan.
"Tapi, saya tidak membuat keputusan lagi pasukan mana saya akan sertai," kata penjaga gawang berusia 26 tahun itu.
No comments:
Post a Comment