Thursday, September 13, 2012

Penyokong Minta T-Team Jangan Dibubar, Rombak Pengurusan

Kelab Penyokong T-Team (KPTT) merayu agar pasukan itu tidak dibubarkan sebaliknya diberi peluang bagi mengembalikan era kegemilangannya pada Liga Malaysia musim depan.

Naib Presiden KPTT, Amir Amri Mohamad berkata, ini kerana pasukan itu mempunyai rekod cemerlang pada awal penubuhannya sekitar tahun 2007.

Katanya mengikut rekod, pada tahun penubuhan itu, T-Team berada di tangga kelima Liga FAM sebelum muncul juara liga berkenaan setahun kemudian.

Pasukan berstatus kelab itu kemudiannya layak ke Liga Perdana sekali gus menjadi naib juara musim 2009.


"Seterusnya, pada tahun 2010, T-Team melangkah ke Liga Super dan pasukan berkenaan berjaya ke suku akhir Piala FA pada tahun yang sama, juga bertemu Terengganu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Terengganu, semalam.

Amir Amri berkata, pada tahun 2011, T-Team terus melakar kejayaan melangkah ke peringkat suku akhir menentang Negeri Sembilan dalam Piala FA.

Malah, katanya, pada tahun yang sama juga T-Team sekali lagi berjaya ke separuh akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan.

"Kami merayu kepada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) supaya jangan bubarkan T-Team. Bagaimanapun kalau itu keputusan beliau untuk bubar T-Team kami akur," katanya

 Beliau mencadangkan supaya pasukan itu diberi 'suntikan baru' untuk menebus semula maruah pasukan itu seperti memanggil semula beberapa pemain yang pernah menyarung jersi pasukan itu bagi memperkuat skuad berkenaan dengan pengurusan pasukan termasuk jurulatihnya dirombak dan diganti baru.

Beliau berkata, adalah satu kerugian kalau pasukan ini dibubar kerana difahamkan, kontrak T-Team dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tamat pada 2014.

"Kalau dibubar sekarang, wang deposit akan hangus selain pasukan digantung tiga tahun," katanya.

Sebelum ini, Ahmad memberi amaran pasukan itu kemungkinan dibubarkan kerana kewujudannya tidak menguntungkan selain kemerosotan prestasi kebelakangan ini.

Ahmad Said menjangkakan nasib pasukan itu sama ada dibubar atau sebaliknya akan diketahui selepas perlawanan terakhir T-Team menentang Pahang dalam Piala Malaysia, Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment