Thursday, September 13, 2012

Ahmad Said - Tiada Peluang Kedua Untuk Parasit Parti


 “Kita tahu kekuatan BN di negeri ini, berapa menang dan sebagainya. Sebab itu saya katakan, kalau kalah, (maknanya) ada orang kita yang tikam dari belakang...Jika ada, tidak perlu diberi peluang kedua kerana saya tidak mahu perosak-perosak ini berada dalam parti dan terus merosakkannya,” 
- Datuk Seri Ahmad Said

“Tiada peluang kedua untuk ‘anai-anai’ dan parasit dalam parti,” tegas Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau menganggap ahli Umno yang sabotaj parti sebagai anai-anai dan parasit berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud ahli yang sengaja menjatuhkan parti, demi kepentingan peribadi.

“Kadang kala setiap kali pilihan raya, memang ada yang sabotaj parti tapi jarang diambil tindakan, jadi saya harap kali ini, tindakan tegas dibuat kerana kita tidak mahu orang yang bertindak mengikut kepentingan diri sendiri.

“Di Terengganu, kita ada jumpa yang ambil tindakan sama tapi tiada tindakan tegas dibuat, jadi saya harap kali ini kita singkirkan sebagaimana saranan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri TNB peringkat negeri di Jalan Bukit Kecil, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Sebelum ini, media melaporkan, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan mana-mana ahli yang melakukan sabotaj terhadap calon parti pada PRU13, akan disingkirkan.

Muhyiddin menegaskan, keputusan itu wajar kerana kesalahan itu terlalu besar dan merupakan pengkhianatan kerana ia boleh mengakibatkan parti kalah.

Dalam konteks Terengganu, kata Ahmad Said , beliau yakin kekuatan Umno dan tidak takut kepada parti lawan memandangkan Umno Terengganu kukuh dan kuat, berbanding pembangkang.

Namun katanya, mana-mana ahli yang sabotaj parti kerana kepentingan tertentu sehingga menghalang Barisan Nasional menang besar, perlu diberikan pengajaran sewajarnya kerana ia boleh merosakkan parti.

 “Kita tahu kekuatan BN di negeri ini, berapa menang dan sebagainya. Sebab itu saya katakan, kalau kalah, (maknanya) ada orang kita yang tikam dari belakang.

“Sebab itu saya beri amaran yang sama dan kita tegas. Jika ada, tidak perlu diberi peluang kedua kerana saya tidak mahu perosak-perosak ini berada dalam parti dan terus merosakkannya,” katanya

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment