Wednesday, September 12, 2012

Kematian Penjaga Letak Kereta - Polis Panggil 10 Individu

Polis memanggil 10 individu bagi memberi keterangan berhubung kematian seorang penjaga tempat letak kereta persendirian yang dipercayai dibunuh di Besut, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata setakat ini polis telah menemui beberapa petunjuk positif berhubung kejadian itu dan percaya suspek adalah orang tempatan.


"Gerakan memburu suspek sedang giat dilancarkan. "Polis tidak menolak kemungkinan punca kematian mangsa disebabkan perselisihan faham berkaitan dadah kerana hasil siasatan awal mendapati mangsa mempunyai rekod penyalahgunaan dadah," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di Besut, semalam.

Pada 2.40 petang, 30 Ogos lepas seorang penjaga tempat letak kereta persendirian ditemui mati di satu kawasan terpencil di hujung Kampung Gong Manok di Kuala Besut.

Mangsa yang dikenali sebagai Faiza Jaafar berasal dari Kampung Beris Lampu, Kuala Besut dipercayai disiksa sebelum dibunuh berdasarkan kesan tetakan senjata tajam serta kelaran di bahagian kaki dan belakang pinggang mangsa.

Kamaruddin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment