Wednesday, September 19, 2012

Lima Rumah Diserang Kepala Angin Diperbaiki Segera


Robiah menunjukkan keadaan bumbung rumahnya tidak beratap kerana diterbangkan kepala angin dalam kejadian di Kampung Bukit Mentok kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Semua rumah mangsa yang rosak akibat diserang kepala angin di Kampung Bukit Mentok dibaiki segera dan kesemuanya disiapkan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Mentok, Che Wan Daud Che Wan Sulaiman, berkata rumah berkenaan dibaiki segera agar mangsa tidak mengalami kesulitan.
 
Turut melawat mangsa ialah Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman.

Menurut mangsa,  Nor Hamizah Husin, 21, yang terkejut melihat musibah diserang kepala angin yang mengakibatkan atap di lima buah rumah musnah di kampung berkenaan petang kelmarin berkata beliau melihat di depannya mata pusaran angin menerbangkan atap zink rumah.

Ketika itu beliau sedang berbaring di atas katil bersama kakaknya dalam bilik tidur.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, sebahagian besar atap dan struktur kayu bumbung musnah hingga ruang dalam rumah dibanjiri air hujan kerana ketika kejadian cuaca hujan lebat.

Nor Hamizah yang bekerja di taska berkata, ketika itu apa yang terlintas di hatinya hanya mahu keluar dari bilik tidur dan menyelamatkan diri tanpa terfikir untuk menyelamatkan barang berharga mahupun dokumen penting.

“Bukan sahaja zink, malah kayu bumbung rumah juga terangkat. Terkejut dengan kejadian tanpa disangka itu saya dan kakak, Nor Hasiati, 25, bingkas bangun dari katil dan keluar dari bilik tidur.

"Waktu keluar kami sekali lagi terkejut kerana lihat keseluruhan atap di ruang tamu juga sudah tiada,” katanya dia tidak keluar kelmarin sebaliknya rehat sahaja di rumah sempena cuti Hari Malaysia.

Rumah berkenaan dihuni Nor Hamizah bersama kakak dan ibunya, Robiah Mohamad yang mana ketika itu ibunya sedang makan di ruang dapur. Atap melayang bagai kertas.

Sementara itu, Robiah yang juga ibu tunggal enam anak berkata, bencana itu berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira 10 minit kesemua atap di bahagian ruang tamu dan bilik tidur melayang bagaikan kepingan kertas.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment