Sunday, September 2, 2012

Malaysia Sepatutnya Menjadi Pusat Madu Dunia

Malaysia perlu memberi lebih tumpuan kepada pembangunan industri madu lebah negara kerana ia mempunyai sumber spesies lebah madu paling banyak dunia, kata Persatuan Perlebahan SeAsia (AAA).

Bagaimanapun, AAA mendapati industri madu lebah negara ini masih jauh ketinggalan dan lebih 90 peratus madu lebah yang dipasarkan di negara ini adalah yang diimport.

Kini, Malaysia menghasilkan lima hingga 10 peratus saja keperluan madu negara, manakala selebihnya diimport dari Australia, China, New Zealand dan Eropah yang sudah terkenal dengan jenama masing-masing.

Naib Presidennya, Prof Datuk Dr Makhdzir Mardan, berkata amat merugikan jika industri madu lebah tidak dibangunkan ke tahap yang boleh menjadikan negara pengeluar kerana Malaysia adalah pusat kepelbagaian lebah madu dunia. Beliau berkata, daripada lapan spesies lebah madu yang ada di dunia, lima berada di Malaysia dan Indonesia.

"Ironinya pusat kepelbagaian lebah madu dunia adalah di Malaysia dan Indonesia dan daripada lapan spesies lebah madu di dunia, lima spesies ada di negara ini.

"Namun, Malaysia mengimport lebih 90 peratus keperluan madu negara. Jadi, agak ironilah sedikit keadaannya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran awal persiapan Persidangan ke 11 AAA dan ApiExpo yang akan berlangsung selama lima hari mulai 28 September hingga 2 Oktober ini di Terengganu.

Pelancaran awal prapersidangan itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ashaari Idris mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Terengganu dipilih menganjurkan persidangan dwitahunan kali ke-11 AAA mewakili Malaysia apabila memenangi bidaan menjadi hos membabitkan India, Vietnam dan Jepun pada persidangan kali ke 10 di Busan, Korea Selatan tahun 2010.

Makhdzir berkata, kini Bintulu, Sarawak antara pusat pengeluaran madu negara yang mengeluarkan antara 80 hingga 100 tan madu sebulan yang diusahakan secara menternak lebah madu di kawasan seluas 10,000 hektar daripada 100,000 kawasan tanaman pokok akasia.

Katanya, di Terengganu kawasan pokok akasia yang banyak ialah di Marang membabitkan kira-kira 1,000 hektar antara pusat paling banyak mengeluarkan madu lebah iaitu 10 hingga 20 tan metrik sebulan.

Sementara itu, Ashaari berkata, Persidangan AAA dan ApiEXPO pada 28 September hingga 2 Oktober ini anjuran bersama Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), kerajaan Terengganu, AAA dan agensi serta jabatan Kerajaan Persekutuan yang akan diadakan di Primula Beach Resort.

Katanya, 29 negara menyatakan persetujuan menyertai persidangan itu seperti Australia, Kanada, Cameroon, China, Korea Selatan, Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) Venezuela dan Indonesia.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment