Wednesday, September 12, 2012

Malindo Airways Tawar Penerbangan Tambang Murah Baru

Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) menerima cenderahati berupa replika pesawat Malindo Airways dari Ketua Pengarah Pt. Lion Grup, Rusdi Kirana (kiri) selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian.

Ketua Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes mengalu-alukan pembentukan syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Malaysia, Malindo Airways, dan ia bukannya satu ancaman kepada kepada AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia.

 Beliau berkata pembentukan Malindo Airways jelas menunjukkan kepentingan yang kian meningkat syarikat penerbangan tambang rendah dalam industri penerbangan global, terutamanya di Malaysia dan rantau Asean, seiring dengan Dasar Langit Terbuka Asean, yang akan berkuat kuasa pada 2015.


"Saya mengalu-alukan penubuhan Malindo Airways. AirAsia sentiasa mahu Asean dibuka. Ini adalah langkah yang baik," kata beliau kepada Bernama. Fernandes sekali lagi menolak dakwaan yang Malindo Airways akan memaksa AirAsia tunduk kepada tekanan ekoran saingan sengit di Indonesia.

Beliau berkata, rangkaian meluas AirAsia di rantau Asia tidak akan terancam oleh syarikat penerbangan itu ataupun rakan-rakan usaha sama Malindo Airways.

"Syarikat penerbangan baharu itu bukanlah isu untuk kami di AirAsia. Kami telah bersaing di negara seperti Malaysia yang mempunyai syarikat penerbangan yang kukuh seperti Malaysia Airlines (MAS).

"Kami juga mempunyai pasukan yang kuat untuk AirAsia, AirAsia X dan AirAsia Indonesia. Saya bangga dengan apa yang kami ada dan kami akan terus berkembang.

"Kami kini membina satu jenama global dan saya tidak rasa sesuatu seumpama ini akan memperlahankan aktiviti kami," tambah Fernandes yang kini berpangkalan di Jakarta untuk memantau operasi rantau Asean AirAsia.

AirAsia Malaysia kini diketuai oleh Aireen Omar.

National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dan PT Lion Grup hari ini memeterai perjanjian usaha sama untuk membentuk Malindo Airways yang akan memulakan operasi pada 1 Mei di KLIA2 di Sepang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan syarikat penerbangan tambang murah baru yang dikenali sebagai Malindo Airways. Najib berkata, syarikat penerbangan itu, adalah hasil usahasama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) dan PT Lion Group, akan mula beroperasi pada 1 Mei tahun depan dan akan berpangkalan di KLIA 2.

 Usahasama itu, katanya bukan sahaja mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam industri penerbangan negara tetapi juga mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.

"Pada pendapat saya, akronim MALINDO - gabungan indah nama Malaysia dan Indonesia yang mempunyai nilai sejarah yang amat signifikan, tetapi juga memaparkan pertalian sejarah yang sekian lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.

"Daripada segi untuk menjadi syarikat penerbangan terkenal, saya percaya nama ini akan menjadi jambatan bagi kedua-dua negara, menerusi rangkaian penerbangan yang luas yang akan menghubungkan banyak bandar raya dan bandar di rantau ini, membuka destinasi baharu untuk pelawat di Nusantara ini dan sekitarnya," kata Najib selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama antara kedua-dua syarikat itu di sini.

Malindo Airways dijangka menawarkan tambang rendah, malah lebih rendah berbanding AirAsia, selain daripada sistem hiburan dalam penerbangan dan saling hubung dalam penerbangan dalam kesemua pesawatnya.

No comments:

Post a Comment