Wednesday, September 12, 2012

YIT Bina Kompleks Sekolah Pondok Bernilai RM20 Juta

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan membina sebuah kompleks bernilai RM20 juta bagi menempatkan Pondok Darul Iman (PDI), sebuah pusat pengajian sistem pondok moden yang diwujudkan tiga tahun lepas.

Pengarah YIT Md Kamarul Al-Amin Ismail berkata kerja pembinaan kompleks itu dijangka bermula akhir tahun ini dan apabila siap pada 2014.

 "Kompleks setinggi empat tingkat itu mengandungi kemudahan seperti bilik darjah, dewan, rumah guru, asrama pelajar dan kemudahan asas yang lain.

"Kompleks ini akan dibina secara beperingkat dengan peringkat pertama bangunan asrama bermula akhir tahun ini dengan kos RM5 juta," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata pembinaan kompleks itu bagi menampung permintaan masyarakat yang amat menggalakkan dan pada masa ini PDI mempunyai kira-kira 200 pelajar. Md Kamarul berkata bermula tahun depan, PDI akan memperluaskan skop pembelajaran sehingga ke tingkatan lima berbanding hanya setakat tingkatan tiga sekarang.

"Kita juga akan mula menerima kemasukan pelajar-pelajar wanita tahun depan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata YIT akan mengadakan kerjasama dengan Institut Agama Islam Negeri Medan, Sumatera Utara, Indonesia tahun depan bagi membolehkan lulusan YIT melanjutkan pengajian di sana.

Katanya YIT merancang untuk menghantar antara 15 dan 20 pelajar dalam bidang pengajian Islam di institut itu tahun depan.

No comments:

Post a Comment