Wednesday, September 26, 2012

Muhyiddin Mahu Mandat Lebih Kukuh Diberikan Kepada BN Di Terengganu


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat Terengganu memberi mandat lebih kukuh kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, menyatakan ini akan membantu parti itu membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan.

Beliau berkata kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dikuasai parti pembangkang di negeri ini agak kebelakang daripada segi pembangunan dan beliau berharap pengundi di kawasan itu memberi mandat kepada BN untuk melakukan perubahan.

Berucap pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di kawasan Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam yang dikuasai PAS, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad di Losong, beliau berkata kerajaan BN sudah terbukti berjaya menerajui dan memimpin negara ini sehingga maju dengan rakyatnya hidup aman dan harmoni.


Katanya rakyat harus berasa cukup bertuah kerana dapat hidup dalam suasana negara yang aman, dengan Malaysia telah menjadi negara yang hendak dicontohi oleh banyak negara lain

"Ini adalah suatu hakikat yang harus kita sedari dalam kita hendak menjadikan negara ini terus maju, negara dapat mengagihkan kekayaan kepada seluruh rakyat, (dan) hidup lebih sempurna," katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata terdapat banyak negara yang sudah mencapai kemerdekaan lebih lama daripada Malaysia tetapi tidak dapat dibangunkan dan masih berlaku pergolakan dan pergaduhan kaum.

"Kemerdekaan tidak menjamin negara itu maju dan rakyatnya hidup aman dan selamat, sebab itu kita di Malaysia harus menghargainya, jangan ambil mudah soal ini kerana ini berlaku kerana ada usaha yang dibuat oleh kepimpinan kerajaan kita yang diterajui oleh Umno dan Barisan Nasional," katanya.


Katanya kerajaan BN sama ada di peringkat pusat atau negeri sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat dan mencari pendekatan untuk menyelesaikannya.

Pendekatan itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), bantuan persekolahan dan baucar buku kepada pelajar universiti, katanya.

 Timbalan Perdana Menteri berkata beliau percaya banyak lagi kehendak rakyat akan dipertimbangkan dalam Belanjawan 2013 seperti perumahan dan pendidikan.



Belanjawan 2013 akan dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment