Tuesday, September 18, 2012

Mulut Celupar - Peter Butler Digantung 6 Bulan, Denda RM4,000


Gambar Fail..Butler (kanan) ketika menerima kontrak melatih pasukan Terengganu daripada Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh, Mei lalu.
(Dikemaskini) Perbuatan celupar pengendali Terengganu, Peter Butler mengeluarkan kenyataan media tanpa merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung masalah disiplin dua pemain skuad Penyu, Muhamad Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha’ri, akhirnya membawa padah apabila beliau digantung enam bulan.

Bekas pemain West Ham United itu yang mula melatih skuad Penyu sejak Jun lalu, juga turut didenda RM4,000 berikutan kesalahan pertama yang dilakukan itu.

Kesalahan kedua pula iaitu memaki hamun dan menolak penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramlie, berdekatan bangku pemain simpanan ketika perlawanan menentang Kedah lantas jurulatih kelahiran England itu turut dikenakan denda pemotongan gaji 15 peratus sebulan daripada gaji pokok.

Butler menganggap hukuman yang dikenakan terhadapnya adalah suatu yang mengejutkan dan mengambil keputusan ‘mengunci mulut’ berhubung keputusan itu.

Menurutnya, beliau terkejut dengan keputusan itu dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana beliau masih belum menerima `hitam putih’ daripada pihak berkenaan.

“Saya masih menunggu surat rasmi daripada pihak PBSNT,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan jawatankuasa tatatertib PBSNT yang telah disahkan dalam mesyuarat PBSNT di pejabat persatuan itu.

Pengumuman terhadap Butler itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Ahmad Shukri Zakaria dalam satu sidang media di Pejabat PBSNT di Kuala Terengganu, Terengganu, semalam selepas mesyuarat lebih sejam.

Jawatankuasa Tatatertib PBSNT semalam memutuskan untuk menggantung Butler selama enam bulan mulai hari ini selain mengenakan denda RM4,000 terhadap jurulatih dari England itu.

Pengerusi jawatankuasa itu, Ahmad Shukri Zakaria berkata Butler dikenakan hukuman itu bagi kesalahan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.

Beliau berkata pemain terbabit, Mohd Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi, mengaku keluar serta balik ke hotel lewat malam hampir pukul 3 pagi sebelum perlawanan Terengganu menentang Kedah di Alor Setar pada 28 Ogos lepas.

"Mesyuarat mengambil keputusan untuk memberi amaran keras kepada kedua-dua pemain itu, dan mengenakan denda sebanyak RM1,000 seorang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu semalam.

Turut hadir Yang DiPertua PBSNT, yang juga Pengurus Pasukan Terengganu Datuk Che Mat Jusoh dan Timbalan Yang DiPertua PBSNT Sheikh Tajudin Sheih Yusof.

"Bagi kesalahan kedua (iaitu) bertindak biadap terhadap penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee pula, Butler dikenakan potongan gaji sebanyak 15 peratus daripada gaji pokok untuk sebulan.

"Butler melakukan kesalahan itu di tepi padang di hadapan penonton ketika perlawanan antara Terengganu dan Kedah pada 1 Sept lalu," katanya.
 
Ahmad Shukri berkata Mohd Sharbinee diberi amaran keras di samping denda RM1,000 kerana bertindak membaling botol ke arah Butler dalam insiden itu.


Beliau juga berkata bagi Forkey Do yang didakwa menyiku dan menendang pemain Kedah semasa bola tidak ada dalam kawalan pada perlawanan sama, jawatankuasa itu memutuskan untuk memotong 10 peratus gaji pemain Liberia tersebut selama sebulan.

Sementara itu, Che Mat berkata buat masa ini, Butler masih lagi jurulatih Terengganu sehingga kontrak beliau tamat November tahun depan.

 "Apapun kita akan membuat persediaan awal dari segi pemain dan jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang dijangka lebih sengit tahun depan," katanya. 

No comments:

Post a Comment