Wednesday, September 19, 2012

Syed Ubaidillah Juara Khat Sempena Festival TIIAF 2012



Syed Ubaidillah Syed Mohamad, 40, yang mencintai seni khat sejak zaman kanak-kanak diumumkan sebagai juara keseluruhan pertandingan khat sempena Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012.

Beliau muncul johan dalam kategori logam setelah berjaya mengalahkan beberapa peserta lain termasuk dari Pakistan dan Indonesia sekali gus menerima piala pusingan Piala Mandalika.

Selain itu, Syed Ubaidillah dari Kampung Simpang Tok Ku dekat Kuala Terengganu, menerima wang tunai sebanyak RM5,000 dan sijil penyertaan di samping hadiah sagu hati bagi kategori kayu dan spontan terbuka.

Pemenang bergambar semasa majlis penyampaian hadiah dan penutup Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2012 di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu, kelmarin.


Hadiah kemenangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Menurut Syed Ubaidillah, dia hanya mengambil masa seminggu sahaja untuk menyusun struktur ayat dan tulisan khatnya serta teknik pengubahsuaian gambar berbanding tempoh kira-kira dua bulan untuk menyiapkan seni bunga-bungaan dan dedaun yang melingkari tulisan khat berkenaan.

“Walaupun menempuhi cabaran agak hebat untuk menyiapkan karya kali ini, di mana karya tahun lalu hanya mengambil masa tiga minggu, saya tetap berasa puas kerana hasil seni dan kreativiti saya diiktiraf.

“Tiada hadiah paling bernilai kepada TTI yang mampu saya berikan, jadi saya berusaha menghasilkan karya ini sebagai hak milik TTI selaku penganjur program kesenian ini yang mana selepas ini ia boleh ditatap oleh orang ramai yang mencintai kesenian tulisan jawi,” katanya.

Syed Ubaidillah yang mendapat sokongan penuh isteri, Engku Zalina Engku Hussin 42, meminati seni khat pada logam berbanding kategori kanvas dan kayu, kerana pelbagai elemen yang mampu dicipta serta diubahsuai menggunakan idea baru dan spontan menerusi bahan yang tidak bernilai seperti besi dan paku.

Dia yang turut menyertai Persatuan Khat Kuala Terengganu bertindak sebagai tenaga pengajar seni berkenaan kepada pelajar dan juga kakitangan kerajaan di pelbagai agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Utusan Malaysia & Teganukita

No comments:

Post a Comment