Sunday, September 16, 2012

Peluang Adiq, Amir Tebus Kekecewaan Di Olimpik 2012


Selepas gagal menamatkan perlumbaan dalam acara lepas beramai-ramai pada Sukan Olimpik 2012, dua pelumba negara, Amir Mustafa Rusli dan Muhammad Adiq Hussainie Othman (gambar atas)  kini berpeluang menebus kehampaan tersebut pada Kejohanan Lebuh Raya Sedunia di Limburg, Belanda nanti.

Kejohanan itu akan berlangsung pada 15 hingga 23 September ini dan skuad negara sudah berlepas ke Limburg semalam. Amir Mustafa yang kini sudah mula berlatih di Melbourne, Australia bakal bergandingan bersama seorang lagi pelumba pasukan benua, Loh Sea Keong dalam misi memulihkan semula imej pasukan kebangsaan yang tercalar gara-gara persembahan hambar di London Ogos lalu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Abu Samah Abd. Wahab menjelaskan, pelumba pasukan benua, Champion System, Muhammad Adiq Hussainie pula bakal menjadi tonggak utama dalam acara lepas beramai-ramai kategori lelaki bawah 23 tahun.

Tujuh lagi pelumba yang bakal menyemarakkan lagi cabaran skuad lebuh raya Bawah 23 Tahun kebangsaan ialah Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zambri, Nik Mohd. Azwan Zulkifle, Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri; Hamdan Hamidun, Muhammad Faiz Izzuddin Omar, Muhammad Azrul Taufiq Anuar dan Ahmad Firdaus Abdul Karim. Muhammad Faiz Izzuddin dan Ahmad Firdaus juga bakal menyertai acara ujian masa individu (ITT).

Abu Samah yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC) mengharapkan persembahan bertenaga daripada Amir Mustafa dan dan Muhammad Adiq Hussainie selepas dua pelumba tersebut gagal menamatkan perlumbaan sejauh 250 kilometer pada hari pembukaan Sukan Olimpik 2012 di London.

"Kita ambil satu keputusan yang sangat besar dengan menghantar pasukan ke Kejohanan Lebuh Raya Sedunia. Ramai yang bertanya adakah kita patut hantar pasukan ke Limburg selepas gagal tamatkan perlumbaan di Sukan Olimpik.

"Apa yang saya dapat tahu, jarak perlumbaan di Limburg nanti hampir sama dengan perlumbaan lepas beramai-ramai pada Sukan Olimpik.

Jadi, timbul persoalan sama ada skuad lebuh raya elit dan Bawah 23 Tahun bersedia daripada segi fizikal. "Kita semua maklum bahawa pelumba Malaysia berpuasa sepanjang Ramadan dan kemungkinan berehat semasa menyambut Syawal.

Bagaimanapun, saya percaya Amir Mustafa dan dan Muhammad Adiq Hussainie mempunyai sejuta alasan untuk menebus kehampaan pada Sukan Olimpik dengan mempamerkan kayuhan cemerlang di Limburg kelak," katanya.

Sehubungan itu, Abu Samah percaya sasaran keputusan di Limburg nanti adalah sekadar menamatkan perlumbaan dan bukannya memenangi pingat.

"Saya tidak menidakkan kewibawaan pelumba negara. Bagaimanapun saya sekadar bersikap realistik. Sasaran terbaik kita sekarang hanya sekadar untuk tamatkan perlumbaan bukan memenangi pingat," katanya.

Beliau juga mengharapkan semua pelumba negara yang menyertai Kejohanan Lebuh Raya Sedunia di Limburg berjuang habis-habisan dan jangan mudah putus asa.

No comments:

Post a Comment