Sunday, September 16, 2012

Tumec, Citra Lepaskan 300 Anak Penyu Di Terengganu

Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) serta Persatuan Pencinta Penyu 1Malaysia (Citra) melepaskan 300 ekor anak penyu di pantai Kuala Abang di Dungun, malam semalam.

Ketua Tumec Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata program pelepasan anak penyu itu merupakan inisiatif Tumec dan Citra bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan pemuliharaan penyu di negara ini.

Katanya Tumec kini giat merangka program pelepasan anak penyu secara serentak di Malaysia yang dijangka berlangsung pada 16 Jun 2013 sempena Hari Penyu Sedunia.

"Kita sedang berbincang dengan Jabatan Perikanan negeri-negeri untuk memuktamadkan perkara penting seperti jumlah anak penyu serta lokasi pelepasan," katanya kepada pemberita selepas program itu yang disempurnakan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau Abang Datuk Zaabar Mohd Adib.

Syed Abdullah, yang juga Penasihat Teknikal Citra, berkata program itu merupakan kerjasama sulung Tumec bersama Citra, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan Julai tahun lepas.

Katanya Citra adalah anak angkat kepada Jabatan Perikanan yang berfungsi untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai pemuliharaan penyu di seluruh  negara.

"Citra menyasarkan untuk menambah anggotanya kepada 700 orang tahun depan berbanding 350 pada masa sekarang," katanya.

Abdullah berharap lebih banyak syarikat swasta akan menyumbang dana terhadap program kesedaran yang akan dipergiatkan pada tahun depan.

"Sehingga kini Citra menerima RM150,000 daripada 12 syarikat swasta untuk melaksanakan program kesedaran di seluruh negara dan kita sasarkan dana itu bertambah kepada RM300,000 pada tahun depan," katanya.

No comments:

Post a Comment