Bajet 2013 bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati", nyata memberikeselesaan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, belia, pelajar, usahawan dan masyarakat desa.
Rata-rata pemimpin berpendapat belanjawan itu, yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini, adalah belanjawan untuk rakyat.
Menteri Besar Terenggganu, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan Bajet 2013 adalah belanjawan yang dilihat amat bertepatan dengan inisiatif 'merakyatkan pembangunan dan pentadbiran' yang dilaksanakan kerajaan negeri Terengganu.
"Segala pembangunan, pentadbiran yang kita buat adalah demi rakyat dan inilah yang ditunjukkan dengan Bajet 2013 dibentangkan Perdana Menteri (Najib) dan saya percaya ini belanjawan terbaik untuk rakyat Terengganu," katanya.
Ahmad Said berkata, banyak bantuan diberi secara langsung kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tunai RM500 diteruskan pemberiannya kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah selain diperluas kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM2,000 ke bawah.
"BR1M memberi impak positif kepada rakyat, maka amat baik ia diteruskan demi membela rakyat," katanya sambil menyifatkan pemberian itu menunjukkan keadaan kewangan negara yang kukuh.
Selain itu, katanya, peruntukan RM5.8 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terutama untuk meningkatkan tanaman padi bakal memperkasa sektor pertanian di Terengganu.
"Saya gembira sektor pertanian dapat perhatian kerajaan dalam belanjawan ini. Saya percaya sub-sektor pertanian lain seperti bioteknologi akan mendapat limpahan daripada belanjawan ini terutama projek Kertih Biopolimer Park di Kemaman yang kami sasarkan pelaburan RM7 bilion menjelang 2015," katanya.
Ahmad berkata, pemberian bonus kepada penjawat awam juga menunjukkan kestabilan ekonomi yang diperoleh negara hasil pemerintahan Barisan nasional sejak 55 tahun lepas.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata, selain memuaskan hati semua lapisan rakyat, Bajet 2013 turut menggembirakan kerajaan negeri Pahang secara khususnya.
Ini kerana, katanya, belanjawan itu memberikan tumpuan terhadap beberapa perkara di Pahang terutama perhidmatan pengangkutan RapidKuantan dan penumpuan dua daerah sebagai kawasan jelapang padi negara.
Adnan berkata, penyediaan perkhidmatan pengangkutan bas Rapid Kuantan yang akan beroperasi bermula 1 Disember depan akan memudahkan lagi operasi pengangkutan awam di sini.
Menurutnya, untuk fasa pertama, perkhidmatan bas itu akan bermula dari Universiti Malaysia Pahang ke laluan bandar Kuantan di mana sebanyak 25 buah bas yang selesa akan disediakan untuk perkhidmatan itu.
"Selain itu kami gembira apabila akhirnya impian kami untuk melihat Pekan dan Rompin bergelar kawasan jelapang padi negara akan tercapai apabila perdana menteri mengumumkan perkara itu dalam Belanjawan 2013," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan projek itu, para petani di kedua-dua daerah itu dapat menikmati pelbagai insentif pertanian yang akan diberikan kerajaan kelak.
"Langkah itu dilihat sebagai tindakan yang tepat pada masanya dalam menjamin bekalan makanan negara pada masa akan datang," katanya.
Secara keseluruhannya, Adnan berkata Belanjawan 2013 memberi faedah kepada semua pihak terutama rakyat di mana kerajaan memfokuskan kepada hal-hal rakyat seperti pendidikan, kesihatan, perumahan dan sebagainya.
"Perdana Menteri prihatin dan realistik dengan mengambil kira semua fakta dalam menyediakan belanjawan ini dan dengan itu, Bajet 2013 ini berjaya memuaskan hati semua rakyat," katanya.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu berkata, negeri itu akan menikmati manfaat besar daripada Bajet 2013.
Beliau berkata, Skim Perlindungan Takaful Padi kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar pasti akan memanfaatkan Perlis sebagai antara negeri pengeluar padi.
"Di samping itu, subsidi dan insentif yang diteruskan sudah pasti menjadi pemberian yang amat bermakna kepada para pesawah," katanya.
Md Isa berkata, belanjawan itu turut memberi habuan kepada pelbagai pihak di Perlis termasuk pesara, orang kurang upaya, golongan belia dan pelajar.
Selain itu, katanya, skim perlindungan insurans berkelompok untuk para peniaga kecil juga akan turut memberi manfaat kepada negeri Perlis yang mempunyai ramai peniaga kecil.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah pula berkata, belanjawan itu adalah menyeluruh selain menampilkan kejujuran kerajaan untuk membawa kemakmuran kepada rakyat.
"Belanjawan itu meliputi semua penduduk negara ini. Semua isi rumah akan merasai faedah daripada Bajet 2013 sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya.
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata, pemberian BR1M juga adalah sesuatu yang sememangnya dinantikan rakyat.
"Bantuan persekolahan RM100, baucer buku RM250 untuk pelajar universiti dan bonus untuk penjawat awam serta kenaikan pencen golongan pesara juga adalah berita sangat baik kepada semua.
"Tahniah kepada kerajaan kerana sekali lagi mewujudkan bantuan berkenaan.
Saya sendiri merasakan kegembiraan rakyat bila mereka terima bantuan itu tahun lepas, dan bila ada lagi bantuan, ia amat disyukuri," kata Ahmad Bashah.
Selain itu beliau berkata, pengenalan beberapa inisiatif baharu seperti skim insurans berkelompok kepada peniaga serta penjaja kecil, taska perintis untuk orang kurang upaya dan rebat telefon pintar untuk belia adalah gambaran bahawa kerajaan sentiasa memikirkan kepentingan semua pihak.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pengenalan perlindungan insurans kepada golongan pesawah adalah langkah yang sangat baik.
"Bagi pihak pesawah, saya berterima kasih dengan inisiatif ini dan menyifatkan ia sebagai langkah yang sangat bijak diambil kerajaan yang tidak pernah membuat janji kosong," katanya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri pula menyifatkan Bajet 2013 sebagai belanjawan yang realistik, komprehensif dan mesra rakyat.
Usaha kerajaan dalam meneruskan pemberian BR1M, bantuan persekolahan RM100 kepada 5.4 juta pelajar dan menaikkan kadar baucer buku kepada RM250 kepada 1.3 juta pelajar universiti dan tingkatan enam adalah bukti keprihatinan kerajaan kepada golongan yang memerlukan, katanya.
Beliau berkata, pemberian diskaun 50 peratus kadar tambang komuter bagi pengguna berpendapatan kurang RM3,000 juga dapat meringankan bebanan golongan kelas menengah rendah.
"Pemberian bonus satu setengah bulan pula adalah pengiktirafan kepada golongan penjawat awam di atas kesungguhan mereka," katanya.
Walaupun pelbagai insentif dan habuan diberikan dalam bajet 2013, Rahim berkata, kerajaan komited mengurangkan defisit kepada 4.0 peratus dan mencapai pertumbuhan ekonomi 5.5 peratus meskipun ekonomi global mengalami suasana ketidaktentuan.
"Kekukuhan fundamental ekonomi negara adalah terjamin dan pelbagai langkah fiskal dan monetari yang dilakukan selama ini secara berhemat telah menjamin kekukuhan ekonomi negara," katanya.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula menganggap pemberian Elaun Cukai Pelaburan projek minyak dan gas adalah wajar kerana ia merupakan sektor penting daripada 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara.
"Belanjawan ini menunjukkan komitmen yang kuat kerajaan sehingga memberikan banyak insentif kepada pelaburan dan pembangunan hab minyak dan gas di negara ini dan sebahagian besarnya adalah di Pengerang," katanya pada sidang berita di Saujana, Johor Baharu.
Bajet 2013 memberikan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum.
Sambil menyambut baik peruntukan RM1.9 bilion bagi pembinaan 123,000 rumah mampu milik, beliau berkata, kerajaan negeri akan meminda 40 peratus daripada rumah-rumah kos rendah yang dibina di bawah Perumahan Rakyat Iskandar Malaysia (PRISMA) kepada rumah mampu milik bagi keluarga muda yang berpendapatan RM5,000 ke bawah.
Mengenai penambahbaikan pengangkutan awam, beliau berkata, kerajaan negeri sudah menyiapkan pelan tindakan bagi pelaksanaan sistem pengangkutan Bus Rapid Transit (BRT) di Johor Bahru.
Secara keseluruhan, Abdul Ghani berkata Bajet 2013 itu adalah satu belanjawan yang bertanggungjawab yang dapat menyahut harapan rakyat di segenap lapisan.
No comments:
Post a Comment