Saturday, September 29, 2012

Payang Walk Meriahkan Lagi Kuala Terengganu

Abdul Rahin (kanan) menunjukkan logo ‘Payang Walk’ pada sidang media, semalam.
Payang Walk’ yang bermula tiga hari seminggu, bakal menghidupkan suasana malam di Bandaraya Kuala Terengganu yang sebelum ini sepi tanpa pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, program dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu dan peniaga itu melibatkan laluan pejalan kaki bermula dari Pejabat Pos Besar Terengganu sehingga ke Simpang Jalan Banggol.

Menurutnya, laluan yang terlibat dengan acara itu akan ditutup kepada semua kenderaan bermula pada jam 6 petang hingga 1 pagi bermula Jumaat hingga Ahad.

“Pelbagai acara kebudayaan dari setiap daerah serta pameran dan jualan secara ‘bundle’ dibuka sepanjang laluan ‘Payang Walk’.

' Ia juga dapat memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan di lokasi satu hentian yang memberi keselesaan kepada pelancong tanpa kekangan kesesakan lalu lintas di Kuala Terengganu. “Melalui aktiviti ini juga dapat menjenamakan semula destinasi pelancongan di bandaraya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Wisma Darul Iman, semalam. Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri, Wan Supian Wan Ishak.

Katanya, majlis perasmian ‘Payang Walk’ akan diadakan pada 8.30 malam, 6 Oktober ini oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Mengulas lanjut, Abdul Rahin berkata, kewujudannya dapat menjenamakan semula destinasi pelancongan di Kuala Terengganu terutama kawasan persekitaran seperti Istana Maziah, Bukit Puteri, Dataran Syahbandar, Bazar Warisan selain Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi kawasan tumpuan perniagaan dan pelancongan di Bandaraya Kuala Terengganu.

Katanya, kemudahan pengangkutan beca beca disediakan untuk mengangkut dan menurunkan penumpang dari Terminal Beca di kawasan parkir kenderaan di Dataran Syahbandar hingga ke Terminal Beca pintu masuk utama Pasar Kedai Payang.

Katanya, ruang pameran, demonstrasi, jualan barangan antik, pertukangan kayu, tembaga, pembuatan keris, seni anyaman dan seni tenunan songket secara interaktif turut diwujudkan sebagai tarikan dan pilihan pengunjung.

 “Para peniaga di Pasar Besar Kedai Payang yang berniaga batik dan juga songket digalakkan beroperasi supaya pelancong dapat juga membeli-belah di situ,” katanya.

Sinar Harian

1 comment:

  1. program kebudayaan tu breti doh ker?
    due minggu doh ambe g, jumaat malm sabtu tp tak dok pong, ari tu ade gok wayang kulit

    ReplyDelete