Thursday, September 13, 2012
Peminat Rayu MB Kaji Semula Rombakan Besar-Besaran Skuad Penyu
Sebahagian besar penyokong Terengganu tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang berura-ura menyingkirkan sembilan pemain pasukan berkenaan dalam satu rombakan besar-besaran oleh pengurusan menjelang musim baru Liga Malaysia.
Malah ada di antara penyokong skuad 'Peteh Ganu Peteh' ini menyifatkan pengguguran pemain-pemain itu tidak adil dan akan menjatuhkan moral serta semangat pemain tersebut kerana ada di antaranya terdiri daripada anak-anak tempatan yang meletakkan nama pasukan Terengganu ini sebaris dengan pasukan tempatan yang gah.
Roslan Zainudin, 43, dari Kampung Seberang Marang, Marang berkata kenyataan Ahmad itu ibarat satu tamparan hebat yang perlu ditelan pemain-pemain skuad Penyu namun harus diambil positif oleh semua pihak.
"Saya bukan hendak menyanggah atau tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar itu, tetapi cuma dalam saat-saat pasukan Terengganu bergelut dengan pelbagai masalah, kenyataan seumpama itu amat menyentuh hati pemain," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta mengharapkan Menteri Besar mengkaji semula impak kepada sukan bola sepak tempatan di kemudian hari sekiranya perkara ini dibuat secara melulu.
Seorang lagi peminat setia pasukan itu, Rosli Jalil, 32, dari Kampung Manir di sini berkata cadangan Menteri Besar itu amat baik memandangkan masalah tersebut diharapkan mampu membuat perubahan berdasarkan krisis dalaman pasukan itu yang sedang bergelora.
Bagaimanapun, katanya, adalah keterlaluan sekiranya sejumlah besar pemain akan digugurkan kerana tidak semua pemain dalam pasukan itu bermasalah.
Seorang peminat wanita, Jamaliah Haron, 22, dari Bukit Kecil di sini ingin tahu sama ada tindakan menggugurkan pemain tersebut akan memungkinkan pemain-pemain terbaik menyertai skuad Terengganu.
Jelasnya pemain-pemain lain pastinya akan berfikir panjang untuk berhijrah ke pasukan ini kerana sekiranya melakukan kesilapan, mereka mungkin akan dibuang menyertai pasukan.
"Malah saya rasa pemain-pemain lain yang baik dan berkualiti tidak mungkin akan berhijrah kerana mereka juga pastinya telah terikat atau tidak mungkin dilepaskan oleh pengurusan masing-masing," katanya.
Menteri Besar bersama pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan membuat rombakan besar-besaran ke atas pasukan Terengganu selepas musim ini berakhir akibat masalah disiplin dan ditambah dengan faktor merudum skuad Terengganu yang gagal meneruskan cabaran saingan seterusnya di Piala Malaysia.
No comments:
Post a Comment