Wednesday, September 26, 2012

Peratusan Keluar Undi Pilihan Raya Kampus UMT Merosot?


Peratusan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang keluar mengundi tahun ini menurun kepada 45 peratus berbanding 63 peratus pada tahun lalu ekoran ramai calon pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, proses pengundian yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT itu berjalan lancar, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Hepa) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, proses pengundian bermula sejak jam 9 pagi di Dewan Sultan Mizan, UMT dan berakhir pada jam 5 petang semalam.

Menurutnya, enam kerusi umum dan 14 kerusi dari tujuh fakulti dipertandingkan dalam pilihan raya kali ini. “Bagi kerusi umum, lima calon menang tanpa bertanding iaitu dari dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM), Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (FPMSM), Fakulti Pembangunan Sosial (FPS) serta Fakulti Perikanan dan Akua Industri (FPAI).

“Manakala satu kerusi umum iaitu bagi Fakulti Sains dan Teknologi (FST), menjadi taruhan bagi calon Jeffery De Cruz dan Faraheen Mohamad Fazin. Bagaimanapun, Faraheen yang memperoleh 2,786 undi, berjaya menewaskan Jeffery yang hanya memperoleh 916 undi,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi kerusi fakulti pula, hanya dua fakulti yang bertanding iaitu FST dan FPE, yang menawarkan empat kerusi manakala 10 kerusi lagi bagi lain-lain fakulti menang tanpa bertanding.

Calon dari FST yang menang ialah Muhamad Noor Talhah (499) dan Siti Nur 'Afifah Sariat (586) yang berjaya menewaskan S. Shanmugan (448), Syajaratul Nur Kamal (478), Lee Kexin (327) dan Beh Beng Yeak (335). Bagi FPE pula, Nurul Hidayah Che Anuad (644) dan Muhammad Hafiz Mohd. Dee (576) berjaya menewaskan Liang Kah Chee (454 Undi). Bekas Exco Penerbitan, Penerangan dan Publisiti MPP UMT, Aliashim.

Albani ketika ditemui berkata, pihaknya melihat calon yang menang mempunyai kreadibiliti dan kewibawaan untuk menjadi pemimpin pelajar dan bertanding atas kapasiti individu tanpa bersifat kepartian.

“Mantan MPP Universiti Malaysia Terengganu mengucapkan selamat bertugas kepada ahli MPP yang baru dan berharap mereka akan dapat meneruskan agenda kebajikan pelajar dan pembangunan universiti.

“Saya melihat saudari Faraheen yang berjaya memenangi undi terbanyak adalah kerana kewibawaannya dalam menjalankan tugas berkaitan program pelajar sebelum bertanding MPP dan mengharapkan dia boleh menyumbang sesuatu kepada UMT,” katanya.

No comments:

Post a Comment