Wednesday, September 26, 2012

Adiq Husainie Kecewa Kategori Hadiah Shakam


"Mengapa perlu dibeza-bezakan kategori untuk memberi hadiah Shakam (Skim Hadiah Kemenangan Sukan),” tanya pelumba basikal negara, Adiq Husainie Othman yang nyata tidak puas hati apabila tidak mendapat sebarang imbuhan biarpun menyumbangkan pingat kepada negara.

Adiq menceriakan kem negara ketika beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang berlangsung di Kuala Lumpur, Februari lalu, menerusi acara lebuh raya Bawah 23 Tahun dengan menghadiahkan pingat perak, pingat pertama negara selepas hampir lebih 20 tahun tiada pelumba mampu menyerlah dalam acara itu.

Dalam skim Shakam, setiap atlet yang membawa pulang pingat bagi kategori elit akan menerima RM10,000 untuk emas, RM5,000 (perak) dan RM3,000 (gangsa) manakala kategori junior RM7,500 (emas), RM4,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Hadiah kemenangan itu adalah skim kelas kedua dalam kategori Shakam bagi kejohanan yang berlangsung setiap tahun.

Ketika kesemua pelumba yang berjaya di ACC lalu, baik dalam kategori junior mahupun elit sudah mendapat imbuhan masing-masing, Adiq pula dimaklumkan tidak layak mendapat imbuhan atas alasan kategori B-23 yang disertainya tidak tersenarai dalam Shakam.

“Jika tidak layak mengapa kategori itu diwujudkan. Saya juga berkayuh untuk negara di kejohanan sama, seperti rakan lain dengan misi mengharumkan nama negara. Apabila menang, kami dibeza-bezakan pula. Ini tidak adil.

"Sekurang-kurangnya hargai penat lelah saya. Tambahan pula, hadiah kemenangan itu bukan milik saya seorang. Saya berkongsi dengan tiga kawan lain,” katanya.

Adiq jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas dimaklumkan pegawai penyelaras basikal Majlis Sukan Negara (MSN), Nor Azman Abu Kassim menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bahawa dia tidak layak menerima skim hadiah Shakam.

Menurutnya, jika itulah jawapan MSN, Adiq yang kini mewakili pasukan profesional benua, Champion System berkata, dia tekad menarik diri daripada beraksi dalam mana-mana acara lebuh raya membabitkan kategori itu.

Biarpun semangatnya masih membara untuk mengharumkan nama negara tapi baginya, keadilan perlu ditegakkan.

“Bukan kecil hati tapi saya sekadar menuntut hak. Saya rasa lebih baik menarik diri jika benar kategori ini dianak tiri dan lebih baik menumpukan perhatian kepada acara trek saja.

“Namun jika MSN mengambil kira kegagalan di Olimpik tempoh hari sebagai antara alasan tidak mahu memberikan hadiah kemenangan itu, ia tidak wajar kerana saya sudah memberikan aksi terbaik di London,” katanya.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment