Wednesday, September 26, 2012

Plastik - 100,000 Hidupan Marin Mati Setiap Tahun





Setiap tahun kira-kira 100,000 hidupan marin di negara ini mati akibat termakan, terperangkap atau terkena kesan pencemaran laut berpunca daripada sampah berunsur plastik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih membimbangkan rakyat Malaysia membuang kira-kira 30,000 tan sampah berunsur plastik ke dalam laut, setiap tahun.

"Tidak ramai yang mengetahui hakikat ini malah ramai juga tidak mengetahui 80 peratus daripada sampah yang berada di lautan sekarang terdiri daripada plastik yang memerlukan masa sehingga beratus-ratus tahun untuk diuraikan.

"Hidupan seperti penyu tertarik melihat beg plastik berwarna-warni kemudian memakannya, malah terdapat banyak kes penyu tersangkut pada tali pancing plastik yang dibuang sesuka hati ke dalam laut,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program ”Save Our Sea Say No To Plastic” di Pulau Bidong, Setiu semalam.

Program empat hari bermula Sabtu lepas itu, yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Yayasan Coral Malaysia; Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Kerajaan Negeri Terengganu dan empat pasar raya terkemuka di negara ini, disertai lebih 100 peserta antaranya pelajar sekolah dan universiti.

No comments:

Post a Comment