Wednesday, September 26, 2012

PPNT Catat Untung Sebelum Cukai Lebih RM1.7 Juta Tahun Lepas

Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) dan dua anak syarikat di bawah kendalian kumpulannya telah mencatat keuntungan sebelum cukai untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis tahun lepas lebih RM1.7 juta.

Dua anak syarikatnya ialah KPT Peladang Sdn Bhd dan Pengangkutan Peladang Terengganu Sdn Bhd.

Keuntungan yang telah dicatat menunjukkan komitmen diberikan sepenuhnya oleh semua warga kerja PPNT daripada pengurusan tertinggi sehingga anggota pelaksana di peringkat bawahan untuk memastikan semua program dan aktiviti dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Pengerusinya, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman berkata, pada tahun lepas, perolehan kasar bagi PPNT adalah RM12,371,432 dan memperoleh keuntungan bersih RM1,163,962.

"Antara aktiviti yang memberi sumbangan adalah perkhidmatan kejenteraan ladang, program pemasaran, projek korporat kelapa sawit dan juga aktiviti pelaburan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam buku laporan kemajuan 2011 yang diedarkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) kali ke-38 bagi 2012 di sini pada Selasa.

No comments:

Post a Comment